PETALING JAYA: Dua lelaki dipercayai cuba menyeludup diesel nekad terjun ke laut apabila menyedari kehadiran bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dalam kejadian di perairan Tanah Merah, Kota Kinabalu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Zainudin Mohd Zuki, berkata sebelum itu dua lelaki tersebut bertindak membuang lapan tong disyaki berisi 200 liter diesel bersubsidi ke laut.
Katanya, pihaknya mengesan sebuah bot mencurigakan pada 8.30 malam tadi dengan bot dinaiki mereka tiba-tiba memecut laju.
“Pada 9.15 malam, seorang lelaki diselamatkan di kedudukan 1.38 batu nautika tenggara Tanah Merah, Kota Kinabalu, manakala seorang lagi rakannya yang disyaki terlibat dengan kes itu tidak dapat dikesan,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, lelaki diselamatkan warga Filipina itu kini ditahan bagi siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah selain Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kenyataan berasingan, APMM menahan 28 individu, termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) buta, dipercayai warga asing yang cuba menyusup masuk ke dalam negara dengan menaiki sebuah bot nelayan, di 10.2 batu nautika utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, semalam.
Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, berkata individu berumur 14 hingga 70 tahun itu ditahan pada 5.43 petang selepas radar Sistem Pengawasan Laut Sabah (Swasla) mengesan bot mencurigakan dari perairan Filipina.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot selain 12 penumpang mengemukakan dokumen pengenalan diri meragukan, manakala empat penumpang memiliki sijil lahir, serta masing-masing seorang penumpang memiliki kad pengenalan Malaysia, dan pas lawatan sosial.
“Baki penumpang lain gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri. Didapati seorang penumpang lelaki berusia 52 tahun buta, dan empat wanita warga emas berusia 55 hingga 66 tahun turut berada dalam bot itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, juragan serta penumpang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.