PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor diingatkan supaya berhenti memporak-perandakan politik negara susulan laporan mengenai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, Sanusi sebaliknya harus fokus kepada tugas sebagai pemimpin dan berkhidmat untuk rakyat.
“Rakyat pun dah muak dengan permainan ni dan rakyat mula nampak yang mereka ni kemaruk kuasa hingga sanggup guna apa cara sekalipun untuk jadi kerajaan,” katanya kepada FMT.
Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sanusi berkaitan wujudnya rancangan untuk menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Sanusi berkata, pihaknya mahu menggunakan kelompongan Akta Antilompat Parti yang didakwa digunakan kerajaan untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
Zaliha berkata, cerita “tebuk atap” sudah berulang kali dimainkan oleh pembangkang.
“Tapi sampai sekarang, Alhamdulillah, kerajaan masih ada majoriti dua pertiga,” katanya.
“Pembangkang patut fokus kepada kerja yang sepatutnya dibuat, bukan hanya fikir dan susun atur nak jadi kerajaan melalui cara tebuk atap,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan tiada komplot untuk menjatuhkan kerajaan.
Menurut Wan Fayhsal, kenyataan Sanusi yang membayangkan kerajaan akan dijatuhkan tidak perlu dipandang serius.
“(Beliau) mengusik saja. Sanusi kan suka sindir pedas,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.