PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menyarankan Ahli Parlimen pembangkang “mengkaji dan faham” peraturan mesyuarat supaya lebih mengetahui proses keputusan menerima dan menolak usul dibuat.
Katanya, usul diterima atau tidak adalah keputusan speaker berdasarkan prosedur dan peraturan ditetapkan.
“Jika memenuhi peraturan mesyuarat insya-Allah saya akan pertimbangkan. Semua perlu faham bahawa saya terikat dengan peraturan mesyuarat bukan buat keputusan sembarangan.
“Kaji dan baca peraturan mesyuarat, fahami dulu” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu FMT melaporkan seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa, tiada jaminan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diterima speaker Dewan Rakyat.
Mengulas cabaran pembangkang berbuat demikian bagi menguji keabsahan Anwar pada sidang Dewan Rakyat bermula 26 Feb, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata ini kerana sebelum ini beberapa usul ditolak “mentah-mentah”.
Dalam pada itu, Johari berkata proses mengemukakan usul sangat mudah dan Ahli Parlimen boleh mengemukakannya termasuk usul undi percaya dan tidak percaya kepada perdana menteri.
Katanya, tiada sekatan untuk Ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul walaupun sebelum ini sudah ada usul sama dikemukakan.
“Apa yang penting usul dikemukakan itu mengikut peraturan mesyuarat yang sudah ditetapkan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.