`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 21, 2024

Siapa ulama?

 

Jujur diakui saya kerdil dalam soal agama. Lalu informasi pada artikel ini saya petik daripada catatan rasmi di public domain juga apa yang dikatakan oleh individu – agamawan dan bukan agamawan – yang mempunyai pandangan tersendiri. Persoalannya mengenai ulama.

Menurut Wikipedia, ulama ialah para pemuka atau pemimpin agama yang bertugas untuk membimbing dan memandu umat Islam baik dalam masalah agama mahupun masalah harian yang diperlukan dari sisi agama atau sosial kemasyarakatan.

Antara definisinya diberi seperti berikut: “Ulama adalah bermaksud sekumpulan manusia biasa bukan rasul/nabi tetapi ada mewarisi ilmu rasul dan para nabi (hanya wali Allah/tidak maksum) boleh bawa manusia kepada redha/ampunan Tuhan dan sangat takut pada Tuhan dan paling taat/patuh kepada khalifah Allah/ketuanya yang sahkan/dipilih/dilantik oleh khalifah umat Islam.”

Baru-baru ini saya menonton satu klip sesi perbincangan di YouTube yang diberi tajuk “Siapa yang letak dia sebagai ulama?”. Sesi disertai Rozaimi Ramle dan Mohamad Asri Zainul Abidin dua agamawan dan cendekiawan Islam terkemuka. Sesi dikendali seorang moderator yang saya tidak dapat namanya. Mohon maaf.

Tentulah perbincangan panjang tetapi klip yang saya tonton bermula dengan sebahagian hujah Rozaimi begini: “Berkenaan ulama ni. Nak pakai gelaran ulama ni, siapa yang boleh letak dia tu ulama atau tak ulama, bukan orang awam. Orang awam ni seolah ‘ooo mari kita pertahankan ulama’. Betul ke ilmuan…”

Mohamad Asri atau Maza mencelah dengan berkata “sampai kata ulama beracun. Mari dekati dengan kami, kami ini ulama.”

Sambung Rozaimi: “Kita pun rasa hairan. Kita tak nafi lah dia tu banyak ceramah tapi nak kata dia tu ulama, sampai nak diangkat begitu tinggi, buku apa yang menjadi rujukan yang dia tulis. Kita yang belajar ini orang kata apa, menangis jugalah nak tulis tesis Datuk kan (merujuk kepada Maza)? Terpaksa berhadapan dengan beberapa orang profesor (orang Arab) dalam bidang untuk mempertahankan tesis (guna bahasa Arab). Kita pun tak berani nak namakan kita ulama. Kita pun takut nak pakai pakaian yang macam ulama ni kan. Takut-takut kerana kita bukanlah orang yang boleh jaga semua benda.”

Namun kata beliau “tapi orang awam ni kadang-kadang senang-senang je letak gelaran ulama kepada orang yang dia suka sedangkan perkataan dikotor, jangan hina perkataan ulama, taraf ulama dengan orang mulut lucah, mulut kotor, mulut jijik, mulut maki ni jangan pergi letaklah. Dia kena belajar adab. Ibn Mubarak sebut kami belajar adab sebelum kami belajar ilmu.”

Moderator seterusnya mengetengahkan (kalau saya boleh guna istilah ‘isu’) di mana “masyarakat tidak boleh membeza. Kita mengkritik, dia sudah anggap benda tu menghina” dan disambut Rozaimi dengan berkata “kita tak hina, dia kata kita hina. Ustaz pujaannya dia hina orang lain dia boleh terima.” Ringkasnya si peminat terima dan setuju dengan ‘penginaan’ lantas gembira dan tertawa. Untuk mengikuti klip yang saya dasarkan untuk penulisan ini dengan penuh sila ke YouTube.

Untuk berlaku adil kepada Rozaimi beliau tidak menamakan ustaz yang digelar ulama dimaksudkan. Untuk berlaku adil juga golongan yang dimaksudkan tidak diminta mereka digelar ulama. Ini kerana menurut Rozaimi “orang awam yang senang-senang” beri gelaran. Tidak diketahui sama ada orang yang diberi gelaran ada minta orang awam supaya tidak berbuat demikian tetapi komen Maza seperti disebut tadi jelas merujuk yang menerima gelaran ‘seakan’ berbangga. Waullahualam.

Dr Mahathir Mohamad semasa pertama kali menjadi perdana menteri banyak bercakap mengenai ulama. Selewat April 2002 iaitu satu tahun sebelum letak jawatan, beliau dilapor berkata perpecahan dalam Islam disebabkan apa yang beliau namakan ‘ulama songsang’ yang membuat tafsiran agama yang salah tetapi tidak mahu menerima teguran.

“Mereka hendak supaya mereka dianggap ulama pewaris Nabi yang tidak boleh ditegur walaupun mereka mengutuk ulama lain (yang tidak sependapat dengan mereka),” kata Mahathir menurut laporan Utusan Malaysia siaran 3 April 2002.

Sasaran Mahathir waktu beliau menjadi perdana menteri dan presiden Umno ialah PAS. Beliau tidak pernah berselindung atau berlapik bahasa menyerang parti itu. Sila buat carian Google dan akan terluah pelbagai kata-kata keras, kesat, dan pedih beliau ke atas PAS terutama pemimpin tertingginya.

PAS pula sememangnya menghebahkan ‘kepimpinan ulama’ iaitu mendakwa ulamanya yang memimpin parti. Sehingga sekarang. Sehingga sekarang juga dalam PAS ada apa yang dipanggil Dewan Ulama. Ertinya satu badan peringkat tinggi yang dianggotai ‘ulama’. Jika tidak masakan ia dinamakan begitu. Betul tak?

Apa pun saya tidak bercadang mempertikai status ‘ulama’ dalam PAS atau bertanya siapa yang memberi gelaran kepada sama ada yang memimpin mahupun yang berada dalam Dewan Ulama, atau mana-mana cabang parti atau sebagai ahli biasa.

Tidak dapat dipastikan apa pandangan Mahathir terhadap ulama dalam PAS pada waktu ini di mana beliau sudah menjalin hubungan baik dan menjadi penasihat empat kerajaan negeri pimpinan PAS. Teringat iklan ASN di televisyen pada 1980-an zaman Mahathir jadi perdana menteri. Ada watak berkata “dulu lain sekarang lain”. Kata-kata yang trending waktu itu. Mungkinkah boleh digunakan bagi meneka pendirian Mahathir masa kini?

Berbalik kepada tajuk artikel ini. Siapa ulama akan terus jadi pertanyaan. Pada hemat saya, ia bukan gelaran seperti anugerah Tun, Tan Sri, Datuk Seri, dan sebagainya. Ia gelaran yang diberi ‘orang awam’ seperti yang dikatakan para agamawan tadi. Di negara ini siapa yang orang awam lihat dan anggap alim, warak, baik, tinggi ilmu agama mereka anggap ulama.

Harap anggapan mereka tepat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.