PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu pimpinan PAS tidak mempolitikkan urusan bencana dan akan membantu mana-mana mangsa yang layak, kata exco negeri.
Exco, Infrastruktur, Utiliti, Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Bencana Hanafiah Mat berkata, sejak kembali mentadbir Terengganu pada 2018, kerajaan negeri memberikan bantuan kepada mangsa banjir terutamanya tanpa mengambil kira kecenderungan politik mereka.
“Di Terengganu kita langsung tidak politikkan isu banjir, sesiapa yang layak terima bantuan akan dibantu mengikut syarat ditentukan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara).
“Semua kita beri belaka bantuan, tanpa lihat warna politik,” katanya kepada FMT.
Hanafiah berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi semalam meminta kerajaan negeri pembangkang mengetepikan perbezaan politik dalam urusan bencana.
Katanya, tugas membantu rakyat terjejas bencana bukan tanggungjawab kerajaan pusat semata-mata.
Sementara itu, Hanafiah yang juga Adun Chukai menegaskan, dana kerajaan negeri atau yang disalurkan oleh kerajaan pusat digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat.
“Saya bukan bertanggungjawab dengan Zahid, tetapi dengan Allah. Duit kerajaan saya kena bagi kepada mereka yang layak,” katanya.
Katanya, setiap kali berlaku bencana, termasuk banjir, semua agensi baik seliaan pusat mahupun negeri sentiasa bekerjasama rapat, termasuk pada peringkat daerah serta kampung.
“Apabila berlaku banjir, semua pihak terlibat bekerjasama, termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), (pihak berkuasa) daerah, wakil rakyat serta penghulu.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.