Saya pernah berkongsi dengan seorang wartawan veteran bahawa cerita mengenai individu menyerlahkan nilai kemanusiaan yang baik seperti R Yogeswary-seorang pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh – kerap mendedahkan wartawan sebagai bersalah kerana sangat kurang menulis mengenainya. Tumpuan sebaliknya lebih kepada mereka yang berpangkat, berdarjat dan terkenal. Rakan saya itu sangat-sangat bersetuju.
Ruangan ini pada 22 Dis lalu merakamkan pengiktirafan buat Yogeswary, seorang ibu tunggal 44 tahun dengan dua cahaya mata, yang sentiasa meringankan beban dan kepayahan pesakit dan pelawat di Kompleks Rawatan Jagaan Harian HRPB sehingga dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, 19 Dis lalu.
Ternyata Yogeswary yang ramah dan ringan tulang membantu dan menyantuni orang ramai di hospital itu sehingga mendapat pujian di media sosial, tidak bersendirian. Ada yang lain sepertinya, cuma bidang tugas, khalayak dan persekitarannya sedikit berbeza di sebalik kedua-duanya adalah pengawal keselamatan – satu pekerjaan sering dikaitkan dengan layanan tidak sepatutnya
mereka terima.
Seperti Yogeswary, K Kittu, 50, atau lebih mesra disapa Uncle Kittu, seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putera di Tanjung Rambutan, Perak, disayangi ramai kerana keperibadian luhur dan murni dengan menganggap guru dan murid di sekolah itu umpama keluarga besarnya sendiri selama enam tahun bertugas di sana.
Uncle Kittu mungkin tidak menyedari betapa kehadirannya benar-benar dihargai sehingga majlis perpisahan untuknya yang diatur pengurusan sekolah itu pada 30 Nov lalu kerana dia akan berpindah ke Sekolah Taman Sri Klebang selepas tahun baharu. Satu klip video berdurasi satu minit 13 saat menunjukkan dia menerima pelbagai hadiah daripada murid dan guru dan mendapat pelukan erat mereka mencatat lebih 2.1 juta tontonan merentasi pelbagai platform media sosial serta meraih 200,00 “like”. Majlis perpisahan itu dilaporkan lebih besar daripada yang pernah diberikan kepada guru sebelumnya.
Komen-komen ditinggalkan warganet pula rata-rata berbunyi pujian buat seorang yang tidak pun membeza-bezakan warna kulit dan anutan. Malah, apa yang jadi perbezaan dalam majlis perpisahan itu adalah pengawal keselamatan tersebut yang lazimnya dipanggil “Pak Guard” adalah seorang berketurunan India sedangkan guru dan murid SK Bandar Baru Putera majoritinya adalah Melayu. Namun, hati yang baik tidak ditutupi kulit berwarna cerah atau gelap melainkan diserlahkan oleh keperibadian terpuji dan khidmat penuh dedikasi.
Pengguna Facebook Salfarina Sani memuji Kittu: “Orangnya memang ramah mesra dan sangat santun…berbudi bahasa membantu sesiapa yang hadir ke sekolah terutama ibu bapa. Dia melayan dan menjaga anak-anak murid di sekolah seperti menjaga anak-anaknya sendiri”. Nor Ainshah Haron pula memuji tindakan sekolah meraikan Kittu: “Bila satu-satu organisasi diketuai orang yang sepatutnya… tersentuh tengok video ni. Bagusnya anak-anak dan pengurusan sekolah tahu menghargai tanpa mengira pangkat dan darjat…semoga menjadi contoh teladan yang baik buat orang lain juga”.
Seperti coretan rakan kolumnis K Parkaran mengenai Kittu 5 Dis lalu: “Maafkan penekanan saya kepada warna kulit dalam nukilan ini kerana realitinya adalah rakyat Malaysia gemar membeza-bezakan warna kulit. Istilah menghina yang sering dikaitkan dengan kulit gelap digunakan secara bebas di media sosial terhadap kaum India. Tapi klip video itu menceritakan sesuatu yang sama sekali berbeza. Murid berlari mendapatkan Uncle Kittu dan memeluknya erat dan mereka turut bersorak untuknya.
“Di atas pentas pula, sejumlah hamper dan hadiah tersusun untuknya. Kepada rakyat Malaysia yang meraikan dan menghargai keharmonian antara kaum dan semangat muhibah, klip video ini akan membuat mereka meremang bulu roma menontonnya. Kepada sesetengah seperti saya, ia boleh membuat air mata bergenang”.
Apa istimewanya Uncle Kittu? Tentu ada sesuatu mengenainya sehingga dia mendapat penghormatan sedemikian rupa. Sebenarnya tiada banyak yang luar biasa kecuali apa saja dilakukannya bukan sesuatu yang dipaksa atau dibuat-buat. Daripada apa yang dikongsikan guru dan ibu bapa murid, dia adalah seorang pekerja contoh yang tidak pun membeza-bezakan antara warna kulit dan anutan melainkan mereka adalah sama sebagai rakyat Malaysia. Ketika hujan, dia sanggup membiarkan dirinya basah kuyup dengan menjadi “payung” asalkan murid dapat menaiki bas sekolah atau kereta tanpa lencun.
“Boleh kata ratusan murid di sini saya boleh ingat nama, perwatakan dan momen bersama mereka. Ada (murid) yang datang minta belanja aiskrim dan keropok. Saya tidak rasa perkara itu membebankan, malah lebih mengeratkan hubungan bersama mereka yang saya anggap macam anak-anak saya sendiri.
“Cikgu-cikgu di sini tak pernah ganggu atau masuk campur tugas saya. Mereka berikan kepercayaan penuh kepada saya dan rakan-rakan untuk melancarkan aliran lalu lintas, memastikan murid datang ke sekolah dan pulang dengan selamat. Di pihak ibu bapa pula, mereka tidak pernah merungut, malah mematuhi peraturan keselamatan sekolah yang telah ditetapkan,” katanya seperti dipetik dalam satu temu bual.
Bapa kepada empat cahaya mata berasal dari Taiping itu berkata beliau sentiasa menyematkan dalam diri supaya melaksanakan tugas seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan atau pujian daripada mana-mana pihak. “Kita perlu ikhlas dalam melayan kerenah murid. Apabila kita ikhlas akan ada sifat kasih sayang dan hormat-menghormati. Muka mesti ceria, hati juga perlu tenang. Baru kita boleh seronok bekerja,” katanya lagi.
Pengerusi Kelab Guru SK Bandar Baru Putera, Mohd Bazli Ramli, berkata Kittu sememangnya disayangi warga sekolah kerana sikapnya yang ringan tulang dan tidak sesekali merungut terhadap tugas diamanahkan. Sepanjang berkhidmat di sekolah itu, Kittu tidak pernah menunjukkan reaksi marah atau meninggikan suara apabila berhadapan dengan guru atau murid. “Jadi, tidak hairan apabila dia hendak bertukar ke tempat lain, ramai orang macam berat hati. Ramai murid memberikannya hadiah pada hari itu sebagai tanda perpisahan, menunjukkan betapa dia disayangi.
“Pernah suatu ketika, dia datang ke sekolah untuk bantu kami menjayakan aktiviti perkhemahan sedangkan itu bukan tugasnya. Kalau ada majlis mahu dianjurkan pihak sekolah, dia antara individu yang sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan,” katanya menambah Kittu banyak memudahkan ibu bapa dalam melancarkan lalu lintas di hadapan sekolah.
Namun, apa yang tidak diketahui oleh murid sekolah itu ialah Uncle Kittu kembali bertugas seperti biasa sekembalinya mereka ke sekolah Selasa lalu selepas ditawarkan lanjutan kontrak sehingga akhir tahun ini atas permintaan ibu bapa murid. “Saya ada buat tinjauan pendapat ibu bapa sama ada Kittu harus kembali bertugas di sekolah ini. Daripada 400 respons diterima, tiada satu pun membantah,” kata Setiausaha PIBG Abd Halim Majid.
“Saya sangat gembira untuk kembali selepas menerima panggilan daripada pihak sekolah pada 1 Jan. Mereka (murid) sangat teruja dan minta saya berjanji tidak akan meninggalkan sekolah ini lagi,” kata Kittu kepada FMT.
Budi yang baik, apatah lagi kasih sayang, dikenang jua. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.