KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selesai menjalankan siasatan berkaitan isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibukota, Setapak baru-baru ini, seperti diarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
Pengarah Jawi Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya telah mengambil keterangan pengadu dan menemu bual waris serta pelaku yang terlibat.
“Jawi juga telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak.
“Pihak Jawi akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Hanifuddin turut menasihati masyarakat Islam di negara ini supaya tidak melakukan amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.
Pada 28 Dis, tular video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak, sehingga mengundang kebimbangan masyarakat, khususnya orang Islam.
Pada hari sama, Ketua Polis Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 10.05 pagi pada 27 Dis. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.