Ini tunjuk keyakinan parti luar terhadap perjuangan PN dan keperluan bentuk gabungan besar lebih mantap menjelang PRU16, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, perkara ini menunjukkan keyakinan parti luar terhadap perjuangan PN dan keperluan membentuk satu gabungan besar yang lebih mantap menjelang PRU akan datang.
“PN (Perikatan Nasional) setakat yang ada sekarang, empat parti sahaja. Adakah kemungkinan akan bertambah jumlah ahli … Dalam waktu saya bercakap ini pun sudah ada, saya tak payah sebutlah parti mana yang kata dia akan bubar (untuk bergabung dengan Bersatu).
“Ini sah dan dah dibuat (keputusan) dalam mesyuarat majlis tertinggi,” katanya dalam edisi khas audio siar bersama Muhyiddin yang disiarkan oleh Limau Studios dalam talian.
Tanpa mendedahkan mana-mana parti, Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat disebabkan keyakinan dan kelebihan yang ada pada PN.
Katanya lagi, rundingan sedang diadakan dengan beberapa pemimpin parti yang ditawarkan pilihan sama ada ingin menyertai Bersatu secara rasmi atau membentuk kerjasama dalam bentuk pakatan pilihan raya.
“Maknanya … (untuk) kita nak perluaskan gagasan kita ini, bukan terhad kepada bilangan sedia ada (sahaja),” katanya.
Cara itu, katanya, bukanlah seolah-olah meniru model Barisan Nasional (BN).
“Saya tak suka nak buat perbandingan begitu … dasar kita berbeza, cara dan ideologi kita tak sama,” katanya.
“Tetapi matlamat kita … supaya akhirnya, inilah parti pilihan. Ini perancangan yang akan mengambil masa. Yang penting, rakyat menerima PN sebagai satu platform perjuangan yang boleh mereka kongsi bersama.”
Pada November tahun lepas, FMT melaporkan pendedahan seorang pemimpin Bersatu bahawa beberapa pertubuhan berasaskan Melayu berhasrat menyertai parti itu menjelang PRU16.
Menurut pemimpin itu, hasrat pertubuhan-pertubuhan ini, dikatakan termasuk Berjasa, Putra dan Perkasa, mendapat maklum balas baik daripada kepimpinan tertinggi parti, dengan beberapa siri perjumpaan telah berlangsung.
Dalam pada itu, Pejuang juga tahun lepas dilaporkan berkata, pihaknya bercadang mewujudkan gabungan baharu sebagai usaha menyertai PN untuk menghadapi PRU16, susulan respons yang agak suam terhadap permohonan parti itu sendiri. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.