Pelantikan Bryan Foong Chee Yeong dan Low Wen Long berkuat kuasa 1 Feb.

Kumpulan syarikat penerbangan itu berkata, Foong akan bertanggungjawab menerajui hala tuju strategik dan prestasi portfolio syarikat penerbangan global dan segmen MAG, termasuk Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.
Foong kini berkhidmat sebagai ketua pegawai strategi kumpulan MAG.
Sementara itu, Low akan menerajui penggubalan dan pelaksanaan strategi seluruh kumpulan merentasi portfolio perniagaan utamanya bagi menyokong pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai.
“Melapor terus kepada bakal presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan MAG, Nasaruddin A Bakar, pelantikan ini akan mengukuhkan kepimpinan MAG di peringkat tertinggi ketika kami menggerakkan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0, memacu pertumbuhan dalam perniagaan teras dan memastikan kestabilan kewangan,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Nasaruddin juga akan menggalas tanggungjawab sebagai presiden dan CEO kumpulan MAG pada 1 Feb, disokong oleh pasukan eksekutif berpengalaman, ketua pegawai eksekutif perkhidmatan penerbangan Mohd Nadziruddin Mohd Basri dan ketua pegawai eksekutif perkhidmatan kesetiaan dan perjalanan Philip See.
Dalam pada itu, MAG berkata, kepimpinan utama ini diperkukuh lagi dengan pelantikan Amran Mohd Tomin sebagai ketua pegawai sumber manusia kumpulan dan Ong Min Hui sebagai ketua pegawai transformasi dan pengalaman pelanggan kumpulan baru-baru ini. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.