Anuar Ahmad kata persoalan mengenai persediaan KPM timbul kerana beliau dan ibu bapa mahu rancangan berjalan lancar.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Anuar Ahmad, berkata timbul kebimbangan sama ada bilangan bilik dan guru mencukupi untuk menampung pertambahan murid, dalam pada mereka bersetuju dengan langkah tersebut.
“Tentunya ibu bapa mahu hari pertama bermulanya alam persekolahan anak-anak mereka berjalan lancar dan selesa. Janganlah ia menjadi pengalaman yang pahit dengan keadaan kelas yang sesak dan guru yang ‘terkejar’ ke sana sini sebab tak cukup,” katanya di Facebook.
Anuar berkata persoalan mengenai persediaan dan sama ada KPM perlukan masa sehingga 2028 untuk memulakannya timbul kerana beliau dan ibu bapa mahu rancangan itu berjalan lancar.
“Kalau tak mampu sepenuhnya, maklumkan awal-awal. Ibu bapa boleh faham. Tapi kalau KPM yakin mampu, teruskanlah. Kita doakan semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar berkata beliau kurang bersetuju dengan konsep ujian saringan sebagai syarat memasuki Tahun 1 bagi anak-anak berumur enam tahun, khuatir akan kesan psikologi dan emosi yang negatif ke atas anak-anak yang tidak berjaya.
“Bayangkan apa rasanya ‘ditolak kerana tidak layak’ yang akan dialami oleh anak-anak kecil ini. Belum pun mula bersekolah, mereka telah melalui pengalaman ‘ditolak’ oleh sistem pendidikan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kanak-kanak di mana ibu bapa mereka mahu memulakan persekolahan Tahun 1 pada usia 6 tahun perlu lulus saringan diagnostik ditetapkan KPM, selain mesti mengikuti prasekolah.
Katanya, keputusan saringan diagnostik KPM dan pilihan ibu bapa secara sukarela akan menjadi penentu kemasukan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan ibu bapa boleh mendaftar anak seawal enam tahun bagi Tahun 1, bermula 2027 bagi memberi peluang pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak yang sudah bersedia. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.