Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau ambil kira permintaan golongan belia berkaitan kos pendidikan.

Anwar berkata beliau mengambil kira keluhan dan permintaan golongan belia, termasuk berkaitan kos pendidikan serta keperluan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Ada anak-anak universiti kata, kita nak belajar tapi kita lapar. Kita tumpukan. Nanti saya umum masa belanjawan nanti.
Anak-anak miskin tak mampu terpaksa berhutang. Hal-hal ini kita kena dengar. Saya tegaskan negara ini bukan miskin, negara ini punyai kekayaan,” kata Anwar berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kamil Abdul Munim dan Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana Fanitsyara Kam Phon.
Anwar berkata beliau semalam meluangkan masa berjam-jam mendengar pandangan golongan sarjana dan saintis mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan.
“Siapa yang menentukan (masa depan negara)? Bukan generasi saya. Generasi anak-anak ini.
“Meneroka alam dan disiplin baru ini adalah bidang anak-anak. Tanggungjawab saya beri ruang, angkat mutu pendidikan, penguasaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Jerman silakan, beri ruang kepada mereka,” kata beliau. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.