Majoriti pekerja sebenarnya sudah berada di atas paras gaji minimum, dan mungkin kurang mendapat manfaat langsung setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan.

Setiap kali isu gaji pekerja dibincangkan di Malaysia, tumpuan hampir selalu tertumpu kepada gaji minimum. Setiap kenaikan kadarnya daripada RM900 sehingga RM1,700 hari ini dan dijangka naik kepada RM1,900 pada tahun hadaman menjadi tajuk utama, topik perbahasan Parlimen, dan penanda aras kejayaan dasar buruh negara.
Persoalan yang jarang ditanya secara terbuka ialah: adakah gaji minimum benar-benar keutamaan paling mendesak bagi pekerja atau adakah kita telah mengabaikan masalah lain yang mungkin mempunyai impak yang lebih besar, iaitu ketiadaan jaminan kenaikan gaji tahunan minimum?
Jawapannya mempunyai implikasi besar ke atas bagaimana dasar buruh negara sepatutnya diutamakan pada masa hadapan.
Siapa sebenarnya dapat manfaat?
Menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), gaji median pekerja sektor formal kini berada dalam lingkungan RM2,900 hingga RM3,200 sebulan, iaitu hampir dua kali ganda kadar gaji minimum RM1,700. Ini bermakna majoriti pekerja, termasuk ramai pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebenarnya sudah berada di atas paras gaji minimum, dan mungkin kurang mendapat manfaat langsung setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan kadar tersebut.
Bagi kumpulan majoriti ini, satu-satunya laluan untuk gaji mereka meningkat ialah menerusi kenaikan gaji tahunan yang diberi majikan. Namun begitu, seperti yang dinyatakan di bawah Akta Kerja, kenaikan gaji tahunan adalah tidak wajib. Ia bergantung kepada polisi syarikat, dengan kenaikan gaji ditentukan sepenuhnya oleh kontrak kerja, buku panduan pekerja (employee handbook), prestasi kewangan syarikat, serta penilaian prestasi individu. Majikan hanya terikat untuk membayar gaji pokok atau elaun seperti yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan dan mematuhi undang-undang berkaitan gaji minimum serta tarikh bayaran gaji.
Keadaan ini mewujudkan satu jurang dasar yang kritikal: tumpuan dasar buruh negara selama ini lebih menumpukan kepada golongan paling bawah di dalam rantaian gaji (melalui gaji minimum), namun kurang memberi perhatian kepada kumpulan majoriti pekerja termasuk ramai pekerja PKS yang bergaji sedikit lebih tinggi daripada paras gaji minimum, dan kenaikan gaji mereka bergantung kepada kriteria di atas tanpa sebarang jaminan.
Selain memberi penekanan kepada gaji minimum, dasar buruh negara perlu meneroka mekanisme baharu bagi memperkukuh perlindungan pekerja secara keseluruhan. Antaranya, setiap pekerja tanpa mengira gaji semasa perlu dijamin menerima sekurang-kurangnya satu kadar kenaikan gaji tahunan minimum (contohnya terikat kepada Indeks Harga Pengguna atau kadar tetap seperti 2%–3% setahun).
Mekanisme ini secara tidak langsung akan memberi manfaat lebih besar kepada pekerja dalam sektor teknikal, vokasional dan kemahiran, memandangkan kumpulan ini biasanya tidak mempunyai laluan kerjaya yang formal dan sukar mendaki tangga kerjaya berbanding pekerja dalam laluan profesional atau pengurusan yang sudah mempunyai struktur kenaikan gaji dan pangkat yang lebih jelas.
Pertama, berbanding kenaikan tahunan minimum, gaji minimum, secara definisi, hanya melindungi golongan paling bawah di dalam struktur gaji. Selain itu, kenaikan gaji minimum bagi pekerja baharu akan meningkatkan rasa tidak puas hati kepada pekerja senior dalam organisasi. Kenaikan tahunan minimum pula, jika dilaksanakan, akan melindungi setiap pekerja tanpa mengira paras gaji semasa mereka termasuk pekerja PKS yang gajinya sudah berada di atas RM1,700 tetapi masih jauh daripada gaji sara hidup (living wage) yang munasabah.
Kedua, seperti yang telah dibincangkan, kenaikan gaji minimum yang tidak diikuti oleh kenaikan setimpal untuk pekerja sedia ada mencetuskan mampatan gaji di mana pekerja lama mendapati gaji mereka hampir menyamai pekerja baharu. Justeru, kenaikan tahunan minimum, jika berkuat kuasa untuk semua pekerja secara konsisten setiap tahun, secara struktur akan mengelakkan jurang ini daripada terus mengecil tanpa disedari.
Kenaikan gaji minimum berlaku secara tidak menentu kerana ia bergantung kepada belanjawan tahunan, tekanan politik dan rundingan tiga pihak (kebiasaannya antara kerajaan, majikan dan kesatuan). Pekerja tidak dapat merancang kewangan jangka panjang berdasarkan sesuatu yang tidak menentu masa dan kadarnya. Kenaikan tahunan minimum, sebaliknya, memberi kepastian tahunan yang membolehkan perancangan kewangan lebih baik.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan tahunan minimum sekiranya diwartakan akan mendatangkan beberapa cabaran seperti beban kos tahunan kepada majikan, risiko kehilangan pekerjaan terutamanya semasa tempoh kemelesetan ekonomi. Selain itu, jika kadar minimum yang ditetapkan terlalu rendah (contohnya sekadar 1%), ia berisiko mengulangi masalah sedia ada, iaitu kenaikan tahunan hanya menjadi formaliti kosong tanpa kesan bermakna kepada taraf hidup pekerja.
Cadangan masa hadapan
Berdasarkan perbincangan di atas, kerajaan disarankan untuk mengkaji kebolehlaksanaan mekanisme kenaikan gaji tahunan minimum pada kadar yang kecil dan sederhana, contohnya berdasarkan kadar inflasi tahunan Indeks Harga Pengguna bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara tanpa memberikan beban kewangan yang berlebihan kepada PKS.
Selain itu, fleksibiliti berdasarkan prestasi kewangan syarikat wajar dipertimbangkan dengan membenarkan PKS yang menghadapi kesukaran kewangan sebenar memohon pengecualian sementara, tertakluk kepada pengesahan dan pemantauan oleh Jabatan Tenaga Kerja.
Mekanisme ini juga boleh digabungkan dengan dasar gaji progresif sedia ada bagi memastikan kenaikan gaji tahunan minimum selari dengan peningkatan produktiviti pekerja dan prestasi syarikat, mewujudkan keseimbangan antara kebajikan pekerja dengan kemampuan majikan.
Akhir sekali, penglibatan kesatuan sekerja dan persatuan PKS melalui sesi perbincangan meja bulat perlu dilaksanakan bagi memastikan sebarang mekanisme baharu dirangka secara telus dan mengambil kira kepentingan semua pihak. Pendekatan rundingan tiga pihak yang melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja amat penting bagi menghasilkan dasar yang adil, praktikal dan mampan, berbanding pelaksanaan arahan secara sehala oleh kerajaan. - FMT
Siti Noormi Alias ialah pensyarah di Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.