Anwar Ibrahim berkata, Islam tidak sepatutnya digunakan untuk halalkan penindasan sehingga golongan miskin terus terpinggir.

Berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra malam ini, beliau berkata, usaha menghidupkan kesedaran Islam perlu disertai perubahan dalam sistem negara.
“Jangan Islam itu menjadi topeng mengesahkan penyelewengan, rasuah dan penindasan, meminggirkan yang miskin,” katanya.
Anwar turut berkata, walaupun negara telah merdeka, kesan pemikiran penjajah tidak semestinya hilang sepenuhnya, menambah bahawa institusi pendidikan agama menjadi benteng penting dalam mempertahankan akidah dan akhlak umat Islam.
Ketika zaman penjajahan, katanya, sistem politik, pentadbiran, pendidikan, bahasa dan budaya masyarakat turut terkesan akibat pengaruh kuasa asing.
“Pada masa itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal ialah madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren yang bukan sahaja menanam dan mempertahankan akidah, akhlak serta sahsiah malah roh perjuangan menentang penjajahan,” katanya.
Anwar turut berkata, kerajaan sejak tiga hingga empat tahun lalu berusaha menyalurkan dana tambahan bagi membaiki institusi pendidikan agama yang daif dan ketinggalan.
Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi membaik pulih sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar, selain memperluas skop bantuan untuk menampung kos operasi institusi terbabit. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.