`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, July 12, 2016

“Wait for the audit report…” – kata-kata pemimpin munafik


Berapa banyak kali tahun lepas kita mendengar dan membaca saranan Najib Razak supaya bersabar dan menunggu siapnya laporan dari Auditor General mengenai salahlaku 1MDB. Tetapi apakan daya. Pemimpin yang pada dasarnya berada di dalam ketakutan, akan sentiasa takut untuk berdepan dengan pengadilan dan kesan dari perbuatannya sendiri.
Jika tidak, masakan dia tidak hadir ke acara Nothing2Hide yang dia sendiri canangkan bahawa dia akan hadir? Jika dia tidak takut, takkan dia tergamak untuk memecat Timbalan dan Naib Presidennya sendiri? Jika dia berani dan tidak bersalah, masakan pula dia memecat Peguam Negara yang sedang menyiasatnya? Masakan dia boleh memecat Menteri Besarnya sendiri? Masakan dia sanggup kelihatan seperti orang bodoh mendiamkan diri apabila ditanya oleh para wartawan mengenai 1MDB dan kes ‘derma’? Masakan dia boleh menekan dan menangkap orang yang mengkritiknya?
Walaupun mendabik dada mengaku menjadi pahlawan bugis dan panglima Islam pilihan Allah, setiap gerak gerinya tidak mencerminkan langsung apa yang dia katakan terhadap dirinya. Berjiwa besar pun bukan, berani pun bukan, ikhlas pun bukan, budiman jauh sekali. 
Mengapa pemimpin berjiwa kecil ini berkeras tidak mahu rakyat membaca laporan Ketua Audit Negara mengenai salahlaku 1MDB? Adakah salahlaku ini mesti dirahsiakan? Bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup dengan nyiru.
Memetik kata-kata Liow Tiong Lai tidak lama dahulu – “What is true will always be true. The truth can’t be faked, the fake cannot be the truth”.
Kenapa mahu jadi hipokrit? Kenapa mahu jadi munafik?
Kesimpulannya, takkanlah dia mahu terus memegang jawatan Perdana Menteri walaupun namanya sudah jijik dan kredibilitinya sudah hancur?
untitled
KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN:
Saya bersama dengan seluruh rakyat yang menuntut kebenaran dalam isu 1MDB mendesak kerajaan supaya mengubah (declassify) status rahsia rasmi Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dengan segera supaya rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar dakwaan penyelewengan wang puluhan billion ringgit dalam urusniaga syarikat berkenaan.
Beberapa petikan yang dikatakan bersumber daripada laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB seperti yang didedahkan oleh portal Sarawak Report beberapa hari lalu mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan penyelewengan syarikat berkenaan. Ini termasuk kehilangan wang berjumlah USD7 billion (RM28 billion) yang dibayar kepada beberapa buah syarikat palsu yang tiada kaitan dengan urusniaga 1MDB.
Ketika kemelut 1MDB mula dipersoalkan oleh rakyat pada awal tahun lalu, saya telah menyuarakan kebimbangan saya di dalam kabinet dan menyarankan supaya Ketua Audit Negara menyiasat akaun 1MDB, termasuk melakukan audit forensik. Siasatan Ketua Audit Negara adalah penting untuk menentukan kedudukan sebenar akaun 1MDB dan menjawab segala tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap syarikat berkenaan, termasuk yang melibatkan Perdana Menteri.
Perdana Menteri sendiri berjanji bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan diumumkan dan beliau memberi jaminan bahawa individu atau pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penyelewengan 1MDB akan dibawa ke muka pengadilan. Bagi yang mungkin terlupa akan janji Perdana Menteri ini, saya ingin memetik tulisan beliau dalam portal NajibRazak.com yang disiarkan pada bulan Mei 2015.
Beliau berkata, “adalah tidak adil bagi sesetengah ahli politik mensabitkan kerajaan dalam mahkamah pendapat awam sebelum fakta sebenar dikemukakan oleh pihak berkuasa yang sah iaitu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat dwipartisan…sementara itu, tolonglah, jangan buat spekulasi dan kesimpulan, tanpa menggunakan maklumat yang akan dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, yang mengandungi laporan terperinci tentang kewangan 1MDB”.
Kata Najib lagi, “Jika kita bersikap ikhlas untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan itu, kita perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah (seperti Ketua Audit Negara) dan bukan daripada portal berita pihak ketiga atau blog dalam talian yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi”.
Itu kenyataan Najib lebih setahun yang lalu.
Jabatan Audit Negara telah memulakan siasatan ke atas akaun 1MDB pada bulan Mac 2015. Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB telah disiapkan pada bulan Jun 2015 dan laporan akhir Ketua Audit Negara telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada bulan Mac 2016.
Malangnya, Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat. Bukan sahaja Laporan Ketua Audit Negara tidak didedahkan kepada umum, malah telah diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Tindakan mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara sebagai dokumen rahsia rasmi adalah aneh memandangkan Ketua Audit Negara mempunyai tanggungjawab di bawah Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan untuk menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Laporan ini kemudiannya hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat. Adakah kerajaan mempunyai kuasa melebihi kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menutup hasil siasatan Ketua Audit Negara daripada pengetahuan rakyat?
Lebih malang, ada Menteri kabinet yang melabelkan pihak yang membocorkan kandungan laporan Ketua Audit Negara sebagai pengkhianat negara. Siapakah pengkhianat sebenarnya? Orang yang mendedahkan salahlaku 1MDB atau orang yang merompak wang negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan mereka daripada diketahui oleh rakyat? Sudah tentulah merompak wang negara dan menutup perbuatan jenayah adalah suatu pengkhianatan yang amat jijik kepada negara.
Seluruh kabinet bertanggungjawab terhadap rakyat. Mereka tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja semata-mata untuk melindungi keselamatan seorang individu. Kepentingan majoriti rakyat adalah jauh lebih utama daripada keselamatan seorang individu.
Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran. Najib telah dikaitkan secara langsung dalam skandal 1MDB dan dia harus tampil menjawab pertanyaan rakyat. Tindakan berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi akan menambah syak wasangka rakyat terhadap kredibiliti dan integriti Najib sebagai Perdana Menteri.
Jika dia seorang yang benar-benar ikhlas, budiman dan berani mencari kebenaran, ubah (declassify) segera status rahsia rasmi Laporan Akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan dedahkan hasil siasatan untuk tatapan rakyat. Usah berdolak dalih lagi.
Jangan berterusan menyalahkan portal berita atas talian atau media asing kerana menyebarkan maklumat mengenai penyelewengan 1MDB. Anda mempunyai satu laporan penting yang sah mengenai 1MDB. Dedahkan isi kandungannya supaya rakyat dapat mengetahui fakta sebenar daripada sumber yang sahih. Ini adalah peluang terbaik untuk Najib dan kerajaan pimpinannya membersihkan nama daripada pelbagai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.
Jika Najib gagal berbuat demikian, dan berterusan menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan rakyat, maka dia mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas skandal 1MDB dan mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
12 Julai 2016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.