`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 3, 2023

24 murid pening, muntah dipercayai akibat pencemaran sisa kimia

 

Sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.13 petang, seramai 17 anggota bomba, termasuk Hazmat bergegas ke lokasi kejadian di SK Sungai Tiram. (Gambar JBPM)

JOHOR BAHRU: Seramai 24 pelajar dan dua petugas kantin SK Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini mengalami pening dan muntah selepas dipercayai terhidu bau pencemaran sisa kimia di sekolah itu semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata, dua guru sekolah itu turut mengalami pening dalam insiden berkenaan.

Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 3.13 petang, seramai 17 anggota termasuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian.

Ads by Kiosked

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati ada beberapa mangsa mengalami pening dan muntah dan PKO bertindak membuat penilaian bagi mencari punca bau pencemaran itu.

“Kesemua pelajar dan guru diarah meninggalkan kawasan sekolah dengan segera serta mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Fokus utama melibatkan keluasan radius 5km di sekitar sekolah memandangkan punca bahan masih belum ditemui,” menurutnya.

Mohd Faiz berkata, antara langkah yang dilakukan Hazmat untuk mengenal pasti punca pencemaran adalah membuat pengesanan akhir di beberapa sektor yang ditetapkan.

“Pada kira-kira 6 petang tadi, tindakan pengesanan telah dilakukan di lima sektor. Pengesanan di sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang mendapati terdapat peningkatan bacaan metil mercaptan sebanyak 50 ppm (bahagian setiap juta),” katanya.

Ads by Kiosked

“Setelah membuat penilaian di lokasi terdapat peningkatan bacaan metil mercaptan itu, didapati berlaku aktiviti pembakaran tangki IBC yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal dan cecair serta pelupusan bahan pepejal dan sisa cecair ke laluan tali air di sungai berhampiran.”

Hasil penemuan itu, katanya, operasi seterusnya diserah kepada pihak JAS Johor untuk tindakan lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.