`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 11, 2023

Ayah Chik dengan cakap tanpa huraiannya

 

Bermula dengan pemberitahuan pendek. Mungkin ramai yang sememangnya sudah tahu tetapi saya beritahu juga. Di Terengganu terutama dalam kalangan orang PAS “Ayah Chik” ialah nama manja atau nama timangan Abdul Hadi Awang. Lantas tajuk artikel ini merujuk Hadi si presiden PAS.

Esok enam PRN diadakan. Rasanya ramai maklum beberapa hari lalu berkata Hadi bahawa kerajaan pusat akan bertukar jika Perikatan Nasional menang besar. Bagaimanapun beliau tidak menghurai lanjut. Tidak menjelaskan bagaimana pertukaran itu boleh berlaku.

Bagi saya ini tidak memeranjatkan kerana kelazimannya Hadi dan tentunya orang beliau, melontar sesuatu, sama ada idea, cadangan, hasrat, tanpa memberi keterangan lanjut. Boleh diibaratkan tembak dan lari. Buka dan tutup.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu bersetuju dengan apa yang dikatakan Hadi. Tidak memeranjatkan jua. Takkan tak setuju dengan bos iya tak? Dan seperti Hadi beliau juga tidak menghuraikan bagaimana pertukaran kerajaan pusat boleh dilakukan. Sekadar memberitahu wartawan yang bertanya “oh macam-macam cara di negara ini”.

Apa yang “macam-macam cara” itu? “Walaupun ada Akta Anti-Lompat Parti tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk tukar kerajaan,” menurut Faizal. Okay tapi apa proses undang-undang yang dimaksudkan? Tidak diperjelaskan.

Pelik juga Akta Anti-Lompat Parti tidak boleh menghalang pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya diadakan. Barangkali Faizal pakar undang-undang tidak seperti saya.

Mungkin itu strategi mereka. Oleh itu wajib tidak diperjelaskan agar musuh tidak merangka “counter plan”. Namun, jujur saya katakan Faizal malah Hadi tidak tahu bagaimana caranya tukar kerajaan pusat jika PN menang besar PRN (selain cara tidak demokratik mungkin?). Lalu mengapa Hadi kata apa yang beliau kata?

Strateginya pada hemat saya ialah untuk menaikkan semangat penyokong sendiri dan menakut-nakutkan parti lawan dan penyokong mereka. “Psy war” atau perang psikologi sememangnya lazim dalam politik.

“Hadi kata macam itu untuk beri persepsi kepada anak muda yang tidak faham sangat politik tetapi suka Anwar Ibrahim. Nanti bila PRN undi PAS /PN,” kata Mujibu Abdul Muis penganalisis politik daripada Ilham Centre.

Diakui Hadi sebagai politikus berpengalaman bijak mengatur strategi tetapi sejak kebelakangan ini apa yang beliau rancang boleh dikesan matlamat dan tujuannya.

Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Yusri Ibrahim, berkata pemilihan kerajaan persekutuan adalah melalui pilihan raya umum dan perkara itu sudah selesai November lalu. Dan pelaksanaan PRN 2023 ini kata beliau adalah untuk memilih kerajaan di enam negeri. Betul kata beliau. Namanya pun pilihan raya negeri. Apa kena-mengena dengan pusat.

Saya setuju apabila Yusri berkata kempen PRN sepatutnya fokus untuk memberi tawaran bagi membentuk kerajaan negeri terbaik kepada rakyat dan “bukannya mengheret rakyat kepada isu nasional yang tidak berkenaan dengan PRN”.

Oleh kerana soal pemilihan kerajaan persekutuan sudah beres November lalu Yusri berkata sepatutnya semua parti politik berhenti berpolitiking tentang merampas kerajaan persekutuan.

“Selepas PRU sepatutnya semua fokus untuk bangunkan negara, tingkatkan ekonomi rakyat dan sebagainya. Apabila sampai musim PRU16 nanti berkempenlah semula, kemukakan tawaran kepada rakyat untuk dipilih sebagai kerajaan,” kata Yusri.

Tepat sekali. Namun PN terutama PAS (kerana yang kaitkan kemenangan besar PRN dengan pertukaran kerajaan pusat ialah presiden PAS) saya katakan mereka tidak mahu tunggu empat atau lima tahun lagi apabila PRU16 diadakan. Malah mereka mahu jalan mudah tanpa memberi peluang kepada rakyat membuat penentuan di peti undi.

Kata seorang kawan lama “naratif PRN digunakan untuk tebuk atap lagi puak lebai ni”. Tebuk atap merujuk Langkah Sheraton manakala “puak lebai” merujuk PAS. Ada benarnya kata kawan saya itu.

Hadi sendiri mendakwa tempoh hari ada Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan sedang menunggu PN menang PRN esok sebelum menyokong gabungan beliau. Kata Hadi dengan sokongan Ahli Parlimen itu dengan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan membolehkan PN tukar kerajaan persekutuan. Nampaknya Hadi merubah fikiran. Daripada tidak hurai kepada hurai strateginya.

Bagi saya beliau membayangkan satu lagi Langkah Sheraton – sesuatu yang beliau percaya boleh dijalankan walaupun negara ada Akta Anti-Lompat Parti seperti kata Faizal si pemimpin Bersatu. Hadi adalah watak penting dalam menjayakan rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton tahun 2020. Dan tidak dinafikan Langkah Sheraton adalah punca ketidakstabilan negara yang dinikmati sebelumnya untuk sekian lama.

Adakah apa yang Hadi dakwa itu benar? Mungkin beliau “sekadar” mahu memecahbelahkan perpaduan Ahli Parlimen kerajaan, mewujudkan suasana curiga dan rasa syak wasangka antara Ahli Parlimen kerajaan. Atau barangkali Hadi percaya apa yang beliau impikan boleh terlaksana?

Tiada salahnya untuk tukar kerajaan. Tetapi ada caranya. Ikut perlembagaan, ikut sistem demokrasi yang diamalkan negara. Dalam konteks sekarang bak kata Yusri hormati kestabilan yang telah tercapai pasca PRU15.

“Dalam konteks persekutuan perlu ada tempoh bertenang untuk fokus kepada kemajuan dan pembangunan negara. Kalau sepanjang masa berpolitik fokus tersebut akan hilang, masing-masing sibuk merebut kuasa,” kata Yusri.

Saya tanya Yusri mengapa Hadi cakap mengenai kemenangan besar PRN dan pertukaran kerajaan persekutuan. Begini jawapannya: “Kepentingan kepartian menyebabkan sesetengah orang meletak kepentingan parti melebihi kepentingan negara yang lebih menyeluruh”.

Bagi saya “kepentingan parti” boleh dibaca sebagai “kepentingan peribadi”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.