`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 27, 2023

Gelombang hijau atau Umno masih kuat di Johor?

 

Ingat aura Sanusi Nor dah “settle down”, rupanya ada lagi. Kali ini di Johor yang menyaksikan berlangsungnya PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Mungkin ada orang kata kenapa menteri besar Kedah sibuk di negeri orang, buatlah kerja di Kedah. Ramai tak perasan beliau juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

Siapa lawannya di Johor? Belum nampak lagi. Pemimpin BN Johor termasuk Khaled Nordin yakin gelombang hijau tak boleh tembusi negeri itu. Sanusi kena hati-hati kali ini. Jangan sentuh benda-benda yang jadi pantang larang bangsa Johor. Takut berlaku “back fire”, tak sempat nak u-turn nanti.

Siapa nak bawa bendera Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Johor? Sasaran BN bukan lagi Sanusi tetapi PAS dan Bersatu secara keseluruhan. Sukar sedikit bagi BN untuk membawa naratif bahawa Johor adalah kubu kuat Umno. Lalu ia harus dikekalkan sebab calonnya dari Amanah.

Memandangkan BN kini serumah dengan PH, naratifnya terpaksa diubahsuai. Undi Amanah bermakna beri kemenangan kepada Umno yang kena kerja keras untuk memenangkan kedua-dua calon Amanah (Suhaizan Kayat di Pulai dan Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram). Sukar menentukan naratif sesuai memenangkan PH .

Dulu calon Umno kalah dengan Amanah. Sekarang Umno kena kerja keras untuk meyakinkan penyokongnya menyokong calon Amanah. Bukan mudah untuk menyusun ayat, kena betul-betul kental,atau “ke laut” perginya.

Boleh sahaja kalau nak pinjam pantun ahli majlis kerja tertinggi Umno Ahmad Maslan. Tetapi mungkin hanya setakat mukadimah atau seloka kempen. Tetapi sejauh mana ia diterima di peringkat akar umbi.

Ramai penganalisis politik sependapat PRK Pulai dan Simpang Jeram akan menilai sejauh mana kejayaan gabungan BN dalam kerajaan Madani. Jika Umno masih kuat pengaruhnya di Johor, kemungkinan besar calon Amanah akan mudah menang.

Mesejnya kena jelas bahawa Umno kini adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan. Kuasa ini perlu untuk kesinambungan survival parti sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.

Ads by Kiosked

Siapa yang akan memegang peranan Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli di Johor? Walaupun skala kempen PRK ini tidak lah sehebat PRN tempoh hari, tetapi tetap menyumbang kepada kredibiliti parti masing-masing.

Kalau PN menang, persepsinya ia sudah mula bertapak di Johor. Kalau PH menang, kesimpulannya Umno masih kuat di Johor walaupun calonnya dari Amanah.

Umno harus cakna sejauh mana orang Melayu akan terus bersamanya yang bergabung dengan rakan baru PH. PRN sudah sedikit sebanyak memberi petunjuk kepada persoalan ini. Tetapi Johor mungkin berbeza sebab Umno masih kukuh .

Umno akan merasa lebih selesa jika calon Amanah diterima penyokongnya. Jika ini berlaku, kempen selepas ini akan lebih mudah. Dapatan trend sokongan orang Melayu boleh dijadikan “template” kempen masa depan Umno Dan PH.

Dalam kebanyakan kempen PRN baru lalu, di kawasan majoriti Melayu di mana BN bertanding, kehadiran DAP tidak begitu menonjol. Takut kalau sahabat baharu mereka terasa hati. Kenalah jaga hati sahabat baru, takut apa yang diungkap tak kena di hati.

Dogma politik baharu BN-PH memakan masa untuk dihadam ahli Umno dan penyokongnya. Jangan dipaksa untuk diterima dalam masa terdekat. Takut sakit tak sembuh, barah lain yang berjangkit. - FMT

Ads by Kiosked - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.