Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memilih Ahli Parlimen Pulai di Johor Bahru, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram di Muar, bermula hari ini dengan dua pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi nanti.
Pusat penamaan calon bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masing-masing adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru dan di Muar.
Semua bakal calon mempunyai tempoh hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus di kedua-dua pusat penamaan calon, sebelum diisytihar layak bertanding dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 5 Sept, manakala 9 Sept sebagai hari pengundian.
Ini bermakna semua calon yang layak bertanding di kedua-dua PRK mempunyai tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 8 Sept.
Pakatan Harapan (PH) telah menamakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Salahuddin, Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket Amanah sebagai bakal calon Parlimen Pulai untuk mempertahankan kerusi itu, menentang bakal calon PN Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.
Sementara itu, di DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera menentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.
Selain itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi difahamkan juga turut mencuba nasib untuk menjadi Ahli Parlimen apabila telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan itu atas tiket Bebas.
Berdasarkan statistik SPR, Parlimen Pulai mempunyai sebanyak 166,653 pemilih dengan 165,799 pengundi biasa; 927 terdiri daripada polis dan pasangan serta pengundi tidak hadir (PTH) sebanyak 26 orang.
Sementara itu, terdapat 40,379 pemilih di DUN Simpang Jeram dengan 40,373 pengundi biasa manakala enam orang PTH.
Pada PRU-15 lepas, Salahuddin menang di Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi selepas memperoleh 64,900 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mendapat 31,726 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong meraih undi sebanyak 20,677.
Salahuddin juga mengekalkan kemenangan di DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac tahun lepas, buat kali kedua apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh (6,350 undi), calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor dengan 208 undi.
Sementara itu, menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada hari ini dijangka hujan di sebelah pagi, manakala sebelah petang diramal ribut petir.
-Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.