`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, August 6, 2023

Sabah catat hampir 1 juta pelancong 5 bulan pertama tahun ini

 

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Festival Sandakan 2023 bertemakan ‘Jom Jelajah Sandakan’ diberi perhatian dan keutamaan sebagai antara usaha menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah. (Gambar Bernama)

SANDAKAN: Sabah mencatatkan sebanyak 988,680 ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, meningkat kira-kira 77.1% berbanding 558,169 bagi tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Katanya, perkembangan itu jelas menunjukkan sektor pelancongan di Sabah terus bertumbuh kukuh tahun ini dan untuk masa akan datang.

“Justeru, kerajaan negeri terus berusaha memulih dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai program pada tahun ini. Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan Sabah.

“Daripada 988,680 yang datang, sebanyak 282,450 ialah pelancong antarabangsa, manakala 706,230 pelawat tempatan dengan anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.02 bilion dijana dari Januari hingga Mei 2023,” katanya pada Pelancaran Festival Sandakan di Padang Bandaran Sandakan malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri negeri.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri menjangkakan ketibaan 2.2 juta pelancong ke Sabah tahun ini, yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri komited merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara.

“Pelbagai usaha diambil adalah ke arah menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia, sama ada untuk pelancong domestik atau lebih-lebih lagi untuk para pelancong dari luar negara,” katanya.

Setakat 1 Ogos lepas, terdapat 122 penerbangan antarabangsa ke Sabah setiap minggu, manakala 353 penerbangan domestik, tambahnya.

Berkenaan program itu, ketua menteri berkata, Festival Sandakan 2023 bertemakan “Jom Jelajah Sandakan” diberi perhatian dan keutamaan sebagai antara usaha menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah selepas wabak Covid-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lepas.

Walaupun ketika ini tiada data ketibaan pelawat mengikut daerah tersedia, Hajiji berkata, bilangan pengunjung ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok sebagai tarikan utama di Sandakan boleh dijadikan indikator, mencatatkan kedatangan sebanyak 56,794 orang, membabitkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa dari Januari hingga Jun lepas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.