`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, October 6, 2023

Asap oh asap dari mana engkau datang?

Semasa artikel ini saya tulis, kualiti udara di seluruh negara didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara tidak sihat, terutama di pantai barat Semenanjung.

Kalau udara di Semenajung dicemari apatah lagi keadaan di Sabah dan terutamanya Sarawak. Ini saya kata berdasar lokasi Sarawak yang berdekatan dengan Kalimantan. Benar Sarawak ada titik panas tetapi dilapor media 3 Okt lalu ada empat titik panas direkodkan pada hari itu berbanding 2,203 di Kalimantan Barat. Ini kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Hazland Abang Hipni.

Sebelum kita hurai lebih lanjut ingin saya katakan secara ringkas kerajaan persekutuan sudah mengaktifkan semua langkah mengikut Pelan Bertindak Jerebu Nasional. Saya tidak bercadang menghurai satu persatu. Sekadar berharap kakitangan kerajaan yang dipertanggungjawabkan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanah sebaik mungkin. Even the best of plans tidak akan membawa makna jika tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Kembali soal titik panas di Kalimantan. Kerajaan sudah mengirim surat kepada Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang melanda negara ketika ini. Ia berikutan penafian Indonesia bahawa asap kebakaran hutannya punca jerebu di Malaysia.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan surat Putrajaya yang dikirim kepada Jakarta. Ini boleh difahami kerana kandungan surat hanya antara si penghantar dan si penerima. Nik Nazmi juga tidak beritahu sama ada surat itu boleh dianggap ‘nota bantahan’ terhadap penafian Indonesia.

Cuma beberapa hari sebelum itu beliau dipetik media berkata punca jerebu bukan dalam negara dan tiada titik panas dikesan di Malaysia. Beliau rasanya tidak mengambil kira timbalan menteri Sarawak tadi.

Laporan berita TV3 dari Jakarta tempoh hari ada menampilkan seorang ketua badan pengurusan bencana Pangkalan Raya, sebuah daerah di Kalimantan yang memberitahu beliau dan pasukannya yakin “99% kawasan di daerah ini sengaja dibakar”.

Kumpulan aktivis alam sekitar sudah lama percaya kebakaran boleh dikaitkan dengan syarikat kelapa sawit yang memiliki ladang luas di dan persekitaran kawasan yang terbakar. Ramai juga percaya api sengaja dinyalakan agar kebakaran membersih atau lebih tepat melapang kawasan untuk penanaman semula.

Ada aktivis menuding jari kepada syarikat gergasi Indonesia dan Malaysia yang punya anak syarikat di Indonesia, khususnya Kalimantan. Ada pihak secara sinis berkata Malaysia tidak boleh complain kerana ia mendapat kesan akibat perbuatan syarikatnya sendiri. Namun jangan kita naik angin dengan kata-kata itu. Pelbagai pihak di Indonesia termasuk NGO, aktivis environment, dan pelajar juga orang awam membidas pemerintah kerana didakwa tidak mengambil langkah serius menyelesaikan masalah kebakaran yang berlaku setiap tahun, yang membawa masalah kesihatan dalam kalangan rakyat Indonesia, Malaysia, dan Singapura. Di Jambi misalnya, kota dengan populasi ratusan ribu penduduk terpaksa menutup sekolah berikutan jerebu.

Pada 22 Sept lalu satu tunjuk perasaan besar diadakan di depan pejabat gabenor di Kalimantan. Kritikan juga dilempar ke atas pemerintah di Jakarta. Perlu diingat semua negara Asean termasuk Indonesia sudah meratifikasi Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan sebelum ini.

Mungkin kerana dikecam rakyat sendiri, kementerian alam sekitar Indonesia menafikan kebakaran berpunca dari wilayahnya. Mungkin penafian itu ialah lebih untuk Indonesia. For local consumption. Tidak pasti sama ada ia boleh dikaitkan dengan pemilihan presiden April depan.

Secara peribadi saya hairan Indonesia membuat penafian kerana ia sebuah negara yang mengamalkan dasar keterbukaan untuk sekian lama setelah jatuhnya pentadbiran Suharto pada Mei 1998. Pun begitu saya faham mengapa penafian dibuat. Atau terpaksa dibuat.

Bagaimanapun kata-kata yang diluah Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar membuat saya… maaf, saya tidak tahu apa istilah untuk digunakan. Sama ada ketawa, menangis, marah, atau bingung. Perhatikan apa kata beliau dan anda pilih istilah paling tepat untuk digunakan.

Kata Nurbaya, Indonesia menumpukan memadam kebakaran hutan di beberapa wilayah di Sumatera dan Borneo dengan menggunakan helikopter. Usaha baik yang tidak dipertikaikan. Dalam pada itu beliau berkata Jakarta tidak mengesan sebarang jerebu dari Indonesia ke negara jiran.

“Kami sentiasa mengikuti perkembangan dan tiada jerebu merentas sempadan ke Malaysia,” katanya.

Beberapa rakan termasuk teman di Indonesia merasakan kenyataan itu kelakar, lalu mencipta jenaka sendiri. Ada rakan bertanya “asap kebakaran di Indonesia tidak dapat masuk ke Malaysia kerana tidak ada pasport?” Disambut ketawa seorang lagi kawan yang berkata, “oh perlu pasport ya? Mungkin tidak dapat visa?”

Lalu bertanya seorang lagi teman apa pula yang dibuat asap itu? Berlegar di ruang Indonesia? Tidak ke mana-mana? Saya turut ketawa. Sambil bertanya dari mana asal-usul asap jerebu yang ada di Malaysia sekarang ini? Jika nak dikatakan ia Made in Malaysia, bandingkanlah jumlah titik panas di Sarawak dan di Kalimantan seperti didakwa timbalan menteri Sarawak tadi.

Masalah jerebu akan berakhir juga seperti tahun sebelum ini bila tiba masanya, tetapi dengan berat hati saya kata tahun depan jerebu akan datang lagi dan menyusahkan Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Sama-sama susah.

Dengan kesesalan itu saya undur diri buat kali ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.