`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 13, 2023

‘Buah hati’ Punch yang menakjubkan, dan seorang lelaki digelar Ciku

 

Skuad Piala Thomas 1976 dan komandan kem mereka Moe Chin Kiat (Ciku) dalam satu perjumpaan semula di Kuala Lumpur pada Mei. (Foto Yong Soo Heong)

PETALING JAYA: Pemain Piala Thomas Malaysia pada 1976 mungkin baru saja menukar seluar pendek seragam sekolah mereka apabila melakar skrip salah satu kisah terhebat pendatang baharu dalam badminton.

Tiada lebih baik daripada kisah sukan yang mengejutkan, dan sekumpulan budak baharu ini digelar ‘Buah Hati Punch’, datang entah dari mana untuk mencuri hati dunia sukan.

Dengan kebolehan berani dan dramatik mereka untuk mencipta kejutan, mereka mengejutkan lawan ternama sebelum tewas kepada Indonesia yang diketuai Rudy Hartono di final.

Ia adalah satu hasil yang tiada siapa boleh dakwa sebagai kebetulan atau tidak wajar.

Adakah ia mencetuskan kebangkitan badminton Malaysia? Butang ‘reset’ benar-benar sudah ditekan.

‘Buah Hati Punch’, yang dinamakan sempena Punch Gunalan yang dikenali hebat, menunjukkan kepada setiap orang muda bahawa anda boleh mencorakkan hidup anda, mengatasi halangan menggerunkan dan menjadi yang terbaik.

Pemain utama dalam pasukan itu ialah Saw Swee Leong (Pulau Pinang), Phua Ah Hua (Kelantan), Dominic Soong (Perak), Moo Foot Lian, Cheah Hong Chong dan James Selvaraj (semuanya dari Selangor).

Mereka tampil dalam kebanyakan, jika tidak semua, pertempuran dalam kempen Piala Thomas 1975-76, dengan barisan simpanan yang mengandungi Suffian Abu Bakar (Perak), Kwek Chiew Peng dan Lim Cheng Hoe (kedua-duanya dari Negeri Sembilan).

Pasukan yang menggegarkan dunia badminton (dari kiri) Moo Foot Lian, James Selvaraj, Chan Looi Chong (jurulatih), Punch Gunalan (pengurus-jurulatih), Phua Ah Hua, Saw Swee Leong, Dominic Soong dan Cheah Hong Chong.

Mendiang Gunalan bersama-sama jurulatih lain, Michael Chan Looi Chong dan Lee Guan Chong memberi penekanan kepada semangat setiakawan, disiplin dan kesetiaan yang mendalam.

Kemudian ada pula seorang lelaki digelar Ciku, yang kemahiran menyeluruhnya dalam setiap jabatan sukan itu mendorong pasukan ke hadapan pada setiap kesempatan,

Ciku ialah Moe Chin Kiat, yang sebagai komandan kem digandakan tugasnya sebagai jurulatih, penjaga masa, penjaga rekod kecergasan, ahli fisioterapi, pakar pemakanan, pemasang tali raket, penjaga dan pemandu.

Gunalan pula membuat kemunculan semula sebagai pengurus merangkap jurulatih selepas berakhirnya era keemasan Malaysia dalam badminton dengan persaraan tiga tahun terdahulu olehnya, Tan Aik Huang, Ng Boon Bee dan Tan Aik Mong.

Bintang-bintang hebat itu bersara selepas bencana Bangkok di mana Malaysia dimalukan oleh Thailand dalam perlawanan akhir Piala Thomas zon Asia selepas mendahului 3-1 semalaman.

James Selvaraj menandatangani autograf untuk peminat di Lapangan Terbang Subang selepas pasukan itu kembali dari perlawanan akhir Piala Thomas di Bangkok. (Foto James Selvaraj)

‘Buah hati’ mempesonakan

Pemain generasi baharu ini mula membuat gelora apabila mencipta kemenangan tidak diduga di tempat lawan ke atas India yang diketuai Prakash Padukone, apabila bangkit daripada ketinggalan 4-1 untuk menang 5-4 dalam perlawanan akhir zon Piala Thomas.

Ramai beranggapan semuanya sudah terlepas apabila Malaysia ketinggalan 1-3 selepas malam pertama kepada pasukan kuat India yang turut membariskan Dinesh Khanna, Partho Ganguli dan Asif Parpia.

Gunalan sangat gembira semasa wawancara pasca perlawanan di radio sehingga dia mengulangi ungkapan “hebat” berkali-kali.

“Ia adalah cara Gunalan untuk menggambarkan kemenangan yang hebat daripada awalnya ketinggalan,” tulis mendiang penulis sukan Tony Francis dalam buku, “Sports Flame – Stories Never Told Before”.

Pada pusingan akhir di Bangkok, pasukan yang dilihat semua orang sebagai ratahan, berdepan Denmark yang mengagumkan di separuh akhir.

Malah, pakar yang paling optimistik sekalipun tidak memberi mereka sebarang peluang menentang pasukan hebat membariskan juara Seluruh England, Svend Pri, Flemming Delfs, Elo Hansen, Steen Skovgaard, Per Walsoe dan Poul Petersen.

Gunalan yang licik itu bertekad untuk mengeksploitasi gelaran ‘underdog’ sepenuhnya tetapi mula-mula dia harus meyakinkan pemain untuk percaya kepada kemampuan sendiri dan mencapai kejayaan.

Menurut artikel Francis, Gunalan mengajar pemainnya beberapa helah seperti memerah bulu tangkis pada saat-saat genting semasa servis untuk menangkap lawan dengan bulu tangkis yang lebih laju.

Dia kemudian berharap keyakinan melampau Denmark dan kepanasan yang teruk di Bangkok akan memihak kepada Malaysia dan menyebabkan Denmark cair.

“Kami hanya perlu memenatkan mereka. Bagi kami, kemenangan tidak mustahil,” katanya kepada Francis dari New Straits Times dan George Das dari The Star, hanya dua wartawan media cetak Malaysia di pusingan akhir itu.

‘Buah hati Punch’ mencapai sesuatu yang mustahil, menang 5-4 selepas terikat 2-2 pada malam pertama.

Swee Leong mendapatkan mata yang tidak dijangka ketika menentang Delfs, manakala Soong dan Hong Chong menumbangkan Pri dan Skovgaard untuk mata kemenangan pada malam kedua.

Ketika ditanya rahsia Malaysia, Gunalan memberitahu pemberita: “Saya mempunyai sekumpulan pejuang yang tidak akan kerugian apa-apa tapi segala-galanya untuk diraih.”

Di final, legenda Indonesia Hartono, Liem Swie King, Tjun Tjun, Ade Chandra, Christian Hadinata dan Johan Wahyudi menumpaskan Malaysia 9-0.

Kekalahan itu tidak bermakna apa-apa kepada rakyat Malaysia yang datang beramai-ramai untuk meraikan pemain, dan mendapatkan tandatangan mereka, sekembalinya mereka dari Bangkok.

Moe Chin Kiat (Ciku) memotong kek “enam yang terhebat” dalam perjumpaan semula pada bulan Mei, dengan pemain Piala Thomas 1976 di latar belakang. (Foto Yong Soo Heong)

Ciku yang penyayang

Hong Chong berkata ia adalah kemurahan hati Ciku yang menyaksikan dia mencapai impian Piala Thomasnya.

Dalam artikel buku Sports Flame, dia menulis bahawa pada 1970, Ciku menjemputnya, Ah Hua, Foot Lian dan Selvaraj untuk menyertai Kelab Merry Juniors kendalian jurulatih itu.

“Dia membayar segala-galanya, yuran gelanggang, bulu tangkis dan juga makan malam setiap kali kami berlatih pada waktu malam. Kami tidak punya sebarang kebimbangan,” katanya.

Apabila pemain-pemain itu menyertai skuad latihan Piala Thomas pada 1973, sifat kebapaan Ciku menjadikannya komandan kem di Wisma MABA, di mana pemain-pemain ditempatkan dalam tempoh latihan pusat yang panjang.

“Selepas kami muncul naib juara kepada Indonesia, Ciku membantu mendapatkan pekerjaan dan kenaikan pangkat untuk kebanyakan kami,” kata Hong Chong.

Dedikasi Ciku kepada badminton tidak berkurangan, malah dalam usia 80-an sekarang, dia terus mencurahkan tenaganya untuk sukan badminton paralimpik.

“Badminton Malaysia sangat bertuah kerana mendapat khidmat tidak jemu-jemu daripada lelaki ini, yang tidak pernah mencari perhatian,” kata Hong Chong.

Pada Mei tahun ini, perjumpaan semula skuad Piala Thomas 1976 telah berlangsung di Restoran Pik Wah, yang terletak di Wisma MABA berhampiran Stadium Negara.

Perhimpunan itu juga bertepatan dengan kepulangan Soong, yang tinggal dan bekerja sebagai jurulatih badminton di Ottawa, Kanada. Yang tidak hadir ialah Cheng Hoe yang berada di luar negara.

Wartawan veteran Yong Soo Heong, yang menyertai rakan seangkatannya bermain badminton dalam majlis itu, berkata anggota skuad itu telah menghasilkan sebuah buku untuk meraikan kejaguhan mereka.

Walaupun terdapat sembilan daripada mereka, buku meja kopi itu bertajuk “Piala Thomas Malaysia – Enam Pemain Terbilang 1975/1976”.

Yong berkata: “Pemuda-pemuda berkenaan bermain sepenuh hati untuk kegemilangan negara, dan walaupun tidak memenangi Piala Thomas, kita harus selamanya menikmati perjalanan cemerlang mereka.”

Jadi, selepas hampir setengah abad, apa terjadi dengan pemain-pemain ini?

“Daripada pertemuan biasa saya dengan kebanyakan pemain ini, mereka telah berjaya dalam kerjaya profesional mereka, dan menikmati kehidupan dalam usia 60-an dan 70-an,” kata Yong.

Mereka seterusnya akan tampil dalam himpunan legenda Sports Flame, yang disokong oleh FMT, pada 9 Disember ini di Hotel Concorde Kuala Lumpur.

Majlis itu adalah mengenai penghormatan daripada kegembiraan bertahun-tahun empat wartawan, George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar yang telah menulis mengenai wira-wira sukan dari 1960-an, 1970-an dan awal 1980-an. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.