`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 13, 2023

Johor komited bantu wujud lebih banyak stesen pengecas EV

 

Kerajaan Johor akan membantu mana-mana syarikat yang mahu memperbanyak stesen pengecas EV di negeri itu, kata Exco Lee Ting Han. (Gambar Bernama)

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor komited untuk membantu syarikat yang mahu memperbanyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han berkata, langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan teknologi hijau dalam menuju misi Maju Johor 2030.

Katanya, kerajaan negeri merakam ucapan terima kasih kepada syarikat Tesla kerana memilih Johor sebagai destinasi kedua stesen “supercharger” sekali gus dapat menarik lebih ramai pengguna kenderaan Tesla ke negeri ini.

“Mengikut data syarikat berkenaan, pengguna kenderaan Tesla di Johor adalah kedua teramai di Malaysia selepas Kuala Lumpur. Itu antara faktor mengapa mereka memilih untuk membuka stesen pengecas ini.

“Sehubungan itu, saya percaya usaha ini akan meningkatkan lagi kunjungan pemilik kenderaan Tesla termasuk dari Singapura ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Stesen Supercharger Tesla di pusat beli belah Sunway Big Box semalam.

Tambahnya, selain Tesla, syarikat-syarikat lain yang mengusahakan stesen pengecas EV ini termasuk Gentari, anak syarikat Petronas, dan Yinson Holdings.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan membantu mana-mana syarikat yang mahu memperbanyak stesen pengecas EV, katanya.

Turut hadir merasmikan majlis itu Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Tesla akan mewujudkan stesen pengecas EV di kawasan selain Iskandar Puteri, Lee berkata, perkara itu masih pada peringkat cadangan.

Tambahnya, Tesla akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kulai, bagi mengenal pasti kawasan yang sering dikunjungi pemilik kenderaan tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.