
PETALING JAYA: Vietnam menyatakan kesediaan terus mengeksport beras ke Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
“Mereka bersedia meneruskan eksport beras ke Malaysia mengikut harga yang dirundingkan, ertinya harga berpatutan di Malaysia, kalau (kita) memerlukan penambahan import beras dari Vietnam,” katanya menurut Bernama di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam Nguyen Quoc Tri, hari ini, sempena Mesyuarat Menteri-menteri Asean Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45.
Malaysia merupakan tuan rumah AMAF ke-45 yang berlangsung dari 2 hingga 6 Okt dalam usaha memperkukuh kedudukan Asean sebagai “bakul makanan dunia” selain memacu kerjasama lebih erat antara negara anggota bagi memelihara keterjaminan makanan di rantau ini.
Turut menghadiri AMAF ke-45 ialah Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura Grace Fu serta Setiausaha Agung Asean Dr Kao Kim Hourn.
Mohamad berkata, pertemuan dengan Fu pula menyaksikan perbincangan mengenai peningkatan perdagangan dalam bidang pertanian antara Malaysia dan Singapura manakala Kao memberi pandangan bahawa kerjasama Asean dengan negara seperti China dan India perlu dipertingkat bagi mendepani isu keterjaminan makanan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.