`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 17, 2023

2 bulan tersadai, senator rayu Anwar campur tangan untuk Orang Asli

 

Senator Ajis Sitin (kemeja batik warna kelabu) bertemu mangsa tanah runtuh berdekatan Sungai Ruil, Cameron Highlands yang berlindung di sebuah dewan sejak Oktober lalu.

PETALING JAYA: Seorang senator merayu campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membantu 88 Orang Asli yang masih tersadai di sebuah dewan, sejak penempatan mereka diancam tanah runtuh Oktober lalu.

Ajis Sitin berkata, sejak runtuhan tanah 12 Okt lalu, mangsa dari penempatan dekat Sungai Ruil, Cameron Highlands, belum boleh pulang ke rumah masing-masing.

Mereka ditempatkan di dewan orang ramai Kampung Sungai Ruil, selepas mengosongkan rumah masing-masing – 17 semuanya – atas sebab keselamatan.

Senator Ajis Sitin.

“Sepatutnya pihak berkenaan mengambil tindakan serta-merta membaiki tanah runtuh itu dan membaik pulih rumah yang terjejas supaya penghuni terlibat boleh memasuki rumah mereka secepat mungkin,” kata Ajis kepada FMT.

Beliau kecewa dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) atau Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana tiada tindakan drastik untuk menyelesaikan masalah itu.

Wakil rakyat itu menyarankan kerajaan guna kaedah perolehan darurat untuk mempercepatkan pembaikan, dengan melantik segera kontraktor yang mahir dan berkemampuan.

“Kasihanilah masyarakat yang naif ini, mereka terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua berada di dewan orang ramai selama lebih dua bulan dan masih tidak tahu bila ia akan berakhir,” katanya.

“Kedinginan suhu di Cameron Highlands ditambah musim hujan kini boleh mencetuskan keadaan kesihatan kurang baik apabila berada dalam tempoh lama dalam kumpulan yang ramai di dewan,” katanya.

Ajis berkata, penempatan Orang Asli itu yang dirancang dan dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya hampir 10 tahun lalu merupakan penempatan suku kaum Semai yang termoden.

Dalam kejadian 12 Okt lalu, bomba mengarahkan penduduk mengosongkan kediaman masing-masing untuk jaminan keselamatan, selepas tanah runtuh berdekatan penempatan mereka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.