`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 19, 2023

Abang Adik: Filem yang mendera perasaan

 

Tak perlu cakap panjang berjela untuk memainkan perasaan saya. Bahasa tubuh dan tenungan mata sudah cukup kuat untuk berbicara sehingga membuat jiwa saya hancur-luluh. Chewah! Itu dapatan saya daripada filem Abang Adik arahan Lay Jin Ong yang saya tonton minggu lalu. Filem Malaysia yang pertama mencatat rekod pecah panggung di Taiwan dengan kutipan NT$40 juta atau RM6.5 juta.

Sejujurnya di dunia realiti, saya kenal beberapa orang kawan yang lahir di tanah ini tetapi mereka tiada dokumen identiti diri sama seperti watak si abang dan adiknya, Adi dalam filem Abang Adik ini. Kehidupan kenalan saya ini sama seperti dua beradik ini juga, penuh dengan pelarian. Hendak buka akaun bank tidak boleh, ingin buat lesen memandu tidak dapat, mahu beli motosikal atau kereta tidak layak apatah lagi untuk mengundi di pilihan raya – usah haraplah! Hendak bekerja pula sudah pastilah syaratnya wajib ada kad pengenalan atau pasport. Bagaimana pula jika mereka sampai keinginan untuk hidup berkeluarga? Lagilah payah. Hanya kerana tiada sekeping kertas pengesahan pengenalan diri segala apa dicita-citakan terhalang. Mereka kena lari-lari apabila melihat pakaian seragam anggota keselamatan. Itu belum termasuk ancaman dan ugutan mereka terima oleh pihak cuba mengambil kesempatan terhadap mereka. Yang kononnya menawarkan diri membantu tetapi kemudian diperas ugut dan “dipau”.

Dilema dihadapi si abang dan Adi menuntut rasa simpati kita sama seperti kita simpati melihat babak pendatang tanpa izin mangsa pemerdagangan manusia ini diburu dan ditangkap. Abang dan Adi meskipun lahir di sini tetapi dek kerana kegagalan ibu bapa mereka menyiapkan dokumen ketika kecil menjadikan mereka sama tarafnya dengan pendatang tanpa izin itu tadi. Namun, pada masa sama kita harus juga waras menilai saat kita menonton kisah ini kerana ia juga melibatkan undang-undang. Di mana-mana negara di dunia dasarnya memang begitu. Soal keselamatan rakyat wajar dipelihara oleh kerajaan dan pihak berkuasa dipertanggungjawabkan untuk menjamin keselamatan warganya. Kes jenayah melibatkan warga asing tanpa dokumen amat banyak dan sukar dikesan. Justeru, pembanterasan memang perlu biarpun sifat perikemanusiaan kita akan bergolak antara rasa kasihan dan tuntutan untuk memahami, kita keliru. Sebab itulah ada dialog dalam filem ini: “Siapa yang bawa mereka (PATI) ini tetapi kemudian mengapa mereka diburu pula?”

Filem Abang Adik ini dekat dirasai oleh jiwa saya. Berlatarbelakangkan Pudu, sebuah kawasan sarat dan sesak di pinggir ibu kota Kuala Lumpur ada pelbagai manusia setiap hari berhempas-pulas bekerja bagi mencari sesuap nasi di sana. Kang Reng Wu, pelakon dari Taiwan yang memerankan watak abang dan Jack Tan sebagai Adi dilihat bersemenda dengan masyarakat Pudu sehingga nampak tidak canggung langsung kedua mereka memotong ayam dan sayur bersama pekerja pasar yang lain. Wajah pendukung watak pembantu dalam filem ini juga kelihatan seperti muka-muka yang biasa kita nampak di kejiranan kita – di Petaling Street – di kedai kopi, bukannya wajah glamor bintang filem mahupun wajah “supermodel”.

Sekian lama saya menonton drama TV atau filem kita dengan baju pelakonnya yang cantik berkilau berlagak di pejabat yang megah, berpeleseran dengan kereta mewah dan bermesyuarat tentang bisnes juta-juta yang mana hal tersebut sangat tidak signifikan dengan hidup saya; filem Abang Adik melantunkan saya kembali semula ke realiti sebenar tentang jerih-perih marhaenis. Ya, saya sedar filem bukan tempat sebenar untuk kita bercakap tentang realiti kehidupan kerana filem adalah filem tetap ada fantasinya tetapi fantasi itu tetaplah juga ada seninya. Sebab itu kita harus faham dunia filem dengan cabang-cabang genrenya baharulah kita mampu mengklasifikasikannya yang mana boleh kita terima sebagai realiti di dalam sebuah cereka dan yang mana pula fantasi di dalam cereka itu juga. Aduh! Faham tak apa yang saya katakan ni?

Dalam filem Abang Adik ini saya tidak melihat kostum lawa-lawa itu. Saya melihat kemeja T yang gelebeh kolarnya, lusuh warnanya. Saya dapat mencium bau kepam bantal dan selimut di pangkin tidur abang dan Adi seperti bau bantal dan selimut di bilik tidur saya. Saya senang melihat meja makannya dihiasi pinggan, cawan dan tudung saji yang kelihatan buruk. Saya terhidu bau longkang dan hanyir ayam di pasar Pudu ketika abang dan Adi sedang bekerja. Elemen-elemen sebegini bagi saya adalah elemen yang berpijak di bumi nyata seperti mana saya melihat pinggan, kole dan botol kicap ketika babak makan dalam filem Kaki Bakar (U-Wei Saari, 2001) dan sembang-sembang Tookoo dan Din dalam filem Kami (arahan Patrick Yeoh, 1982).

Elemen sebegini penting bagi saya bukan hanya cakap-cakap-cakap tanpa ada jiwa. Kalau cerita cinta, setiap masa asyik bercakap pasal cintaaaaa…saja baik ketika berjauhan sehinggalah “berdating”. Gilakah? Di alam realiti, jika anda bercinta takkanlah modal sembang dengan pasangan anda hanya berkisar tentang cintaaaaaa…saja? Selitkanlah dialog yang biasa dibualkan. Tentang politik, gosip artis atau apa-apalah. Dari situlah hidupnya cerita itu. Kan?

Filem Abang Adik sarat dengan kasih sayang. Si abang orangnya bisu dan hanya boleh mendengar dengan menggunakan alat bantuan pendengaran. Abang begitu menyayangi adiknya, Adi. Tanda kasih sayang kedua mereka sejak kecil ialah mereka akan mengupas telur rebus dengan mengetuk dahulu telur rebus tersebut di dahi satu sama lain. Abang mengetuk telur rebusnya di dahi Adi manakala Adi mengetuk telur rebusnya di dahi abang sebelum mengupas telur tersebut. Dua tiga kali air mata jantan saya meleleh dek luahan kasih sayang ini.

Saya bukanlah pengkritik filem. Filem adalah hiburan bagi saya tidak kira ia filem romantik, komedi, serius, sedih atau seram. Jika ia sebuah filem sedih saya merelakan perasaan saya didera secukupnya oleh filem sedih itu. Begitupun juga, yang tak sedapnya ialah filem Abang Adik ini nampaknya cuba untuk memujuk saya semula setelah saya teruk didera kesedihan oleh “mereka”. Saya rasa saya tidak wajar dipujuk. Saya mahu biarlah saya terus menangis seksa sehingga saya keluar panggung. Itu lebih “cilaka” untuk saya. Macam mana tu?

Begini. Setelah menyerah diri dan cukup bukti, abang pun dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah kerana bersalah membunuh seorang wanita daripada sebuah NGO yang banyak membantu mereka berdua untuk mendapatkan kad pengenalan. Menjelang tiga hari lagi hukuman dilaksanakan, abang diberi peluang untuk bertemu dengan sesiapa yang diingininya. Abang memilih untuk bertemu Adi. Selama lima minit babak abang dan Adi berbual tanpa suara ini (kerana abang tidak mahu guna lagi alat bantuan pendengarannya yang disifatkannya sudah tidak perlu) sudah cukup memilukan. Cukup sial sedihnya. Tanpa suara, hanya bahasa isyarat bertanya khabar rindu atau tidak, bertanya mengapa sudah kurus; tanpa melolong-lolong tetap mampu menghiris hati dan memerah air mata kita…er…saya. Sudahlah sebelum itu kita menangis menonton babak si abang yang dihadapkan di hadapan seorang sami Buddha untuk dikaunselingkan kerana warder penjara melihat si abang enggan menjamah makanan. Si abang dengan segala kepayahan untuk berbicara – dengan suara bisunya yang tidak keluar – telah bersungguh-sungguh menerangkan kepada sami (yang bertindak seperti seorang kaunselor) tentang nasib hidupnya yang cukup susah, serba-serbi payah yang tidak mungkin selamanya dapat difahami oleh si sami kerana tidak mengalaminya sendiri.

Dia hanya disuruh bersabar dan menjadi orang baik tetapi bagaimana mahu menjadi baik jika peluang tidak pernah ada. Sekarang saya mahu mati, kata si abang dengan tersekat-sekat dan air mata berjuraian. Aduh! Langsung saya terdengar sok-sek sok-sek esakan penonton termasuklah esakan isteri saya. Jadi, babak berikutnya iaitu babak perbualan bahasa isyarat antara si abang dan Adi pada pertemuan kali terakhir itu menambahkan lagi kesakitan saya. Saya rasa, untuk saya cukuplah sampai di situ. Seksaan itu sangat sedap untuk saya nikmati kerana babak seterusnya adalah babak terakhir yang seolah-olah cuba memujuk saya. Babak seterusnya menunjukkan si abang sudah menjalani hukuman gantung di mana diperlihatkan Adi termenung kesedihan dengan berlatarkan gema azan Subuh. Akhir cerita Adi kemudian bertemu semula dengan ayahnya sekali gus merungkaikan sebuah jawaban bahawa pertemuan semula itu bakal mengabulkan impiannya untuk mendapatkan kad pengenalan pasti berjaya. Itulah babak akhir yang cuba untuk memujuk saya tetapi saya tidak mahu. Saya mahu terus terseksa. Huwaaa!

Untuk anda yang mahu melihat sebuah pengorbanan dan kasih sayang, tontonlah filem Abang Adik ini. Kepada semua tenaga kerja Abang Adik, syabas saya ucapkan dan terima kasih banyak-banyak kerana telah mendera saya. Saya rela! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.