`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 19, 2023

Tiadakah lagi toleransi?

 

Ketika bersekolah rendah di sebuah sekolah pelbagai bangsa di bandar, saya sudah terbiasa makan beramai-ramai dengan membawa bekal dari rumah. Kami biasa makan berhadap-hadap tanpa sangsi dengan bekal masing-masing. Setakat menumpang minum dari botol rakan yang bukan seagama, itu tidak menjadi kehairanan lagi, sudah jadi biasa.

Kalaupun tidak pada waktu rehat, murid juga sudah terbiasa berkongsi botol minuman selepas latihan sukan. Bukanlah sangat atas rasa persahabatan tapi persefahaman yang terbentuk sejak usia kanak-kanak lagi. Pun begitu, sensiviti tetap terjaga secara semula jadi. Seorang rakan berbangsa Cina tidak akan menyuakan tupperware bekal makanannya jika dia berasakan tidak patut berbuat demikian. Tapi jika biskut tradisional berinti mentega kacang yang dibawanya, rakan yang berbangsa Melayu tidak menunggu dipelawa untuk menyambarnya.

Begitu mudah hidup berkongsi ketika itu. Tiada pula ibu bapa menegah agar jangan makan atau minum dari tupperware atau botol rakan bangsa lain. Semuanya dibuat atas pertimbangan sendiri kerana perkara halal haram bukan tidak dititikberatkan tapi masing-masing sudah mengerti. Apakah kurang keislaman seorang murid Melayu ketika itu? Rasanya tidak sama sekali. Juga adakah kurang kecinaan seorang murid itu jika menjamah karipap daripada bekal rakannya yang berbangsa Melayu? Tentu juga tidak.

Tiba-tiba tular pula isu berhubung arahan pengurusan sebuah kedai bakeri kepada cawangan kedainya yang melarang paparan frasa seperti “Selamat Hari Krismas” atau “Krismas” pada kek. Dalam pada Krismas – yang diraikan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia – bakal disambut kurang seminggu lagi, apa perlunya kontroversi seperti ini? Bukankah juga Krismas turut disambut kerajaan dengan adanya rumah terbuka peringkat nasional? Lazimnya, kontroversi timbul bukan disebabkan mereka yang pandai tapi mereka yang memandai-mandai.

Untungnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar telah memberikan kenyataan bahawa pihak berkuasa tidak melarang perniagaan yang mempunyai sijil halal menulis “Selamat Hari Krismas” pada kek. Berry’s Cake House di Subang Jaya juga memaklumkan syarikat itu menarik balik peringatan dikeluarkan kepada kakitangan supaya tidak menerima permintaan ucapan Krismas ditulis pada kek. Selepas melakukannya selama beberapa tahun, tentunya tidak adil apabila tiba-tiba perkara itu tidak lagi dibenarkan tahun ini. Lebih tidak adil apabila kedai bakeri berkenaan dituduh rasis oleh pelanggan hanya kerana terkeliru oleh peraturan dan takut hilang sijil halal.

Mengikut hukum akal, apa mudaratnya “Selamat Hari Krismas” pada kek? Apakah kek yang diperbuat daripada semua bahan halal jadi tidak halal dimakan hanya kerana ada tulisan “Krismas”? Bagaimana jika tulisan ising “Krismas” pada kek dikikis hingga hilang, adakah ia menjadikan kek itu bertambah sedap lagi halal? Kadang-kadang ramai yang terdorong untuk membuat pertimbangan tidak masuk akal atau akal langsung tidak digunakan.

Dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti di negara ini, sikap toleransi amat penting dalam memelihara keharmonian. Tiada kepentingan sesuatu kaum itu lebih penting daripada yang lain. Sifat hormat-menghormati adalah “reciprocal” tanpa sesuatu pihak itu saja menuntut ia dihormati jika ia tidak menghormati orang lain. Andai rasa kebersamaan dipastikan terpelihara, murnilah semangat kekitaan dan suburlah setiakawan.

Peri penting untuk sesuatu isu kecil dibiarkan kecil dan usah dibiar berlarutan. Kerana sesuatu isu yang kecil itu akan semakin sukar untuk ditangani jika menjadi keterlaluan dan padah buruknya hendaklah dijadikan pengajaran. Seboleh-bolehnya diskriminasi terhadap satu isu tular yang menyebabkan kakitangan sebuah restoran Cina Muslim di Kuala Lumpur dipecat bulan lalu kerana memakai rantai dengan loket salib, tidak lagi berulang pada masa depan. Hanya kerana menurutkan desakan ramai yang tidak pun bertimbang rasa, seorang pekerja yang mematuhi syarat-syarat menyediakan makanan halal, hilang mata pencarian.

Juga kita tidak harus lupa satu peristiwa enam tahun lalu apabila pengusaha sebuah kedai dobi di Muar, Johor, yang hanya menerima pelanggan beragama Islam atas alasan untuk memelihara kesucian pakaian yang hendak dicuci. Ia sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku ketua agama negeri dengan menitahkan pemilik kedai itu memohon maaf dan menukar dasarnya.

Di sebalik ia satu amalan agama yang sempit, kata Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, amalan itu bertentangan dengan Islam yang memudahkan penganutnya dan pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya. Melanjutkan hujahnya, semua pandangan yang sempit seperti itu akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat majmuk. Tambahnya, Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan dan bukan menyusahkan.

Memetik satu tulisan Enizahura Abdul Aziz yang dikongsikan di laman web www.ikim.gov.my, hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia hari ini berada pada tahap yang perlu dibimbangi. Defisit dalam kepercayaan sosial antara kaum berupaya menjadikan usaha perpaduan dan keharmonian yang telah lama disemai menjadi sia-sia.

Persaingan kuasa menjadikan hubungan ini sebagai cagaran politik bagi pihak yang berasakan ia mampu menguntungkan mereka sedangkan yang akan terkesan akibat daripada perkara ini adalah masyarakat secara keseluruhan. Ia boleh menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan syak wasangka terhadap tindakan dan niat antara mereka dan ini sememangnya memerlukan satu langkah kolektif dan komprehensif antara pemimpin dan rakyat.

Pemimpin tidak boleh membiarkan rakyat memperbaiki hubungan antara mereka secara bersendirian dan rakyat pula tidak boleh hanya mengharapkan kerajaan atau pemimpin untuk memulihkan keadaan tanpa memainkan peranan sewajarnya agar perpaduan dan hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di Malaysia menjadi terus kukuh.

Muhibah perlu dicerminkan dalam masyarakat di negara ini. Muhibah seringkali dijelaskan sebagai satu keadaan iaitu masyarakat majmuk dalam sebuah negara seperti Malaysia dapat hidup dalam suasana penuh kasih sayang, harmoni dan tanpa konflik. Dalam konteks Malaysia, “muhibah” adalah satu istilah yang amat kaya dengan falsafah dan sejarahnya tersendiri.

Muhibah dijelaskan dengan panjang lebar oleh Profesor Dr Kamar Oniah Kamarul Zaman dalam bukunya “Religion and Pluralistic Co-Existence: The Muhibah Perspective”. Pada hemat beliau, muhibah adalah satu semangat kesatuan dan kekitaan yang tinggi disulami dengan satu bentuk budaya keikhlasan dan penerimaan terhadap kepelbagaian budaya, agama dan bangsa dalam satu masyarakat.

Muhibah juga adalah asas kepada rasa hormat terhadap orang lain dan persaudaraan sesama manusia. Kefahaman yang mendalam tentang konsep muhibah adalah penting dan harus dijadikan asas interaksi masyarakat pelbagai agama dan budaya di Malaysia. Muhibah adalah berdasarkan kefahaman bahawa perlunya penerimaan yang ikhlas terhadap perbezaan yang wujud dalam masyarakat.

Kamar menyimpulkan adalah penting untuk difahami bahawa agenda muhibah bukan hanya merupakan satu usaha penerapan bersifat sambil lewa sahaja. Sebaliknya kelangsungan pendekatan muhibah ini harus disuburkan dan diteruskan dalam kalangan generasi muda terutama kerana kehidupan bermasyarakat hari ini menjadi semakin mencabar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.