Seorang teman berbangsa Tionghua mengeluh betapa kurangnya rasa peduli daripada masyarakat Cina tempatan dalam isu kemanusiaan seperti yang menimpa penduduk awam di Gaza, Palestin. Untuk keadilan, tidak ada survei teratur meninjau pandangan mereka dalam hal ini. Kebanyakan pihak mengatakan naratif Palestin ‘topik umat Islam’ (justeru dibolot kaum Melayu) akan tetapi saya mempunyai pendapat lain.
Sebenarnya buku sejarah di sekolah kita mesti membincangkan pembunuhan dan kejahatan yang dilakukan kuasa kolonial ketika mereka menjajah atau menduduki negara kita. Seingat saya, episod penjajahan British di Malaya agak lunak, dengan tumpuan besar diberikan kepada insiden atau peristiwa sejarah seperti Malayan Union yang sebetulnya berhubungan dengan elit kuasa dan kurang kena mengena dengan orang awam seperti kita. Penjajahan atau pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua pula memberikan terlalu banyak perhatian kepada taktik serangan Jepun di Tanah Melayu iaitu bagaimana ia masuk dari Kelantan dan mara dengan cepat sekali ke Singapura.
Perhatian yang mesti diberikan dalam buku sejarah sekolah kita berkaitan pendudukan Jepun dan penjajahan Inggeris di Malaysia ialah pembunuhan beramai-ramai, genosid, dan penghapusan dengan cara berdarah yang amat kejam. Kita bukan mengajar anak-anak kita membenci Jepun dan United Kingdom, tetapi hanya berjujur dengan mereka sejujur-jujurnya.
Kebanyakan pembunuhan di zaman penjajahan ini dilakukan terhadap bangsa Cina tempatan, dan kurang diketahui oleh bangsa Melayu kerana ketiadaannya rujukan sejarah di peringkat sekolah. Dua insiden yang paling sial ialah yang dilakukan Jepun di Bukit Jalil pada 1942 dan yang dilakukan Inggeris di Batang Kali pada 1948. Orang Melayu mungkin hanya tahu peristiwa Bukit Kepong. Jika kedua-dua memori pahit dan jahanam di Bukit Jalil dan Sungai Remok, Batang Kali ini diceritakan dan diajari di sekolah kita, saya percaya generasi Cina dan India mana pun akan berasa lebih hampir dengan negara ini, malah akan lebih simpati dengan apa yang berlaku di Gaza, Palestin; tanpa peduli soal agama dan geopolitik. Mereka juga akan lebih menghayati kemerdekaan.
Jenayah perang di Bukit Jalil
Pada bulan Mac 1942, tujuh buah lori dan sebuah kereta (dengan mengibarkan bendera kuning sebagai simbol kenderaan milik Jeneral) menceroboh estet di Bukit Jalil, dan ketua kerani estet, seorang India, SP Pillai terpaksa membenarkan mereka masuk.
Sebelumnya, Jepun melakukan pemeriksaan rumah ke rumah pada 6 Mac, dan di sekitar Kuala Lumpur lebih 1,000 lelaki Cina ditangkap. Mereka ditelanjangkan, diikat atau digari, ditutup matanya, dipaksa beratur dan berjalan serta dihimpit di dalam lori. Persisnya apa yang Zionis lakukan terhadap penduduk Gaza hari ini. Di estet Bukit Jalil saja kira-kira 100 orang pemuda Cina diambil terdiri daripada penoreh getah.
Askar Jepun memberi amaran agar buruh India tidak menghampiri banglo majikan estet dan kawasan rumah kuli untuk beberapa hari. Menurut Pillai, tiada kedengaran apa-apa bunyi. Selepas tentera Jepun beredar dengan lori-lori yang kosong, buruh kaum India mengingatkan amaran Jepun itu bersembunyi. Hanya selepas beberapa hari mereka kembali ke rumah dan mendapati di kawasan sekitar terdapat tujuh lubang besar yang terkambus dan sudah mulai berbau busuk.
Adalah dipercayai penoreh getah berbangsa Cina itu ditanam hidup-hidup dan baunya menusuk ekoran pengebumian yang tidak dalam liangnya. Laporan Prebet Miyake Genjiro yang berada di Kuala Lumpur pada waktu itu mengesahkan apa yang berlaku. Menurut beliau, pembunuhan yang dinamai Pembunuhan Beramai-ramai Sook Chin ini berlaku di sebuah estet luar KL. Di bawah pemerhatian beliau sahaja lebih 400 orang di dalam enam buah lori dibawa ke sebuah ladang. Beberapa orang dipenggal dan lainnya ditikam dengan bayonet sebelum ditanam hidup-hidup.
Menurut Genjiro, dia masih ingat percikan darah basah yang terkena pada batang pokok getah. Di Kuala Lumpur, ramai wanita Cina menceritakan ayah atau abang mereka diculik dan hilang begitu sahaja. Peristiwa hitam ini tercatat dalam buku dan kajian sejarah antara lain oleh Andrew Barber dalam Kuala Lumpur at War 1939-1945.
Tentu tidak ramai yang tahu mengenai ini.
Jenayah perang di Batang Kali
Insiden berdarah lain ialah di Batang Kali, Selangor. Peristiwa ini juga kurang diketahui orang Melayu. Mereka hanya rasa terpaling ditindas menerusi insiden Bukit Kepong. Generasi baru masyarakat Cina pula mungkin tidak mengetahui kejadian ini ekoran ia tidak dimuatkan dalam buku sejarah sekolah.
Kejadian berdarah pada 12 Disember 1948 ini melibatkan 24 orang awam berbangsa Cina yang dibunuh oleh tentera British. Penjenayah perang yang melakukannya tidak pernah dihukum, manakala pihak Inggeris masih enggan mengiktiraf kejadian ngeri ini. Jika lebih ramai orang Cina dan Melayu elit mengetahui hal ini mungkin mereka tidak akan lagi begitu terhegeh-hegeh bercuti di London.
Ada banyak kajian sejarah mengenai apa yang berlaku di Batang Kali. Antara lain yang dilakukan Christopher Hale, sejarawan Inggeris menerusi buku beliau Massacre in Malaya: Exposing Britain’s My Lai.
Kejadian ini berlaku di awal zaman Darurat di mana British sedang membanteras gerakan Komunis. William Cootes salah seorang askar yang terlibat dalam kejadian 11 Disember. Selepas banyak tahun berlalu Cootes memperincikan apa yang berlaku dan menceritakan bagaimana dia diarahkan ke sebuah perkampungan penoreh getah Cina di estet Sungei Remok tidak jauh dari Batang Kali. Cootes dan platunnya diberi arahan untuk membunuh siapa sahaja yang ada di sana.
Malah menurut Cootes, beliau mengingat kembali bagaimana seorang sarjan membunuh kanak-kanak dengan menembaknya di perut. Memandangkan beliau masih hidup, satu tembakan di kepala pula dilepaskan. Keesokannya sekumpulan lelaki di bawa ke tebing sungai dan ditembak mati.
Kebanyakan kisah mengenai Batang Kali diceritakan kembali oleh balu mangsa dan juga anak-anak mereka yang hari ini sama ada sudah terlalu tua, atau sudah pun meninggal dunia. Sebagai contoh, dalam sebuah buku oleh Ian Ward dan Norma Miraflor berjudul Slaughter and Deception at Batang Kali, mereka menghimpunkan sejarah lisan dari kejadian sial ini. Kita ada banyak bahan untuk memuatkannya dalam kurikulum sejarah kita.
Salah satunya kisah Lim Kok yang ketika kejadian itu baru berusia 9 tahun. Beliau mengingat bagaimana bapanya, Lim Tian Sui dibunuh di estet Sungai Remok. Mayat bapanya ditemui tanpa kepala. Ada banyak perca sejarah mengenai apa yang berlaku pada 11 dan 12 Disember 1948 dilakukan oleh Platun 7, Batalion 2 Scots Guards di bawah British Army. Mereka membunuh orang awam.
Menurut Foo Mui yang kini sudah renta tua, beliau sedang memasak nasi apabila dapurnya dihurung askar Inggeris yang memaksa anaknya berusia 10 tahun menunjukkan arah. Menurut Foo Mui dia tidak pernah mendengar kata Komunis sebelum ini dan disoal apakah dirinya Komunis ketika itu.
Kejahatan penjajah mesti kita ceritakan kepada generasi muda. Jika kekejaman dan jenayah perang yang dilakukan terhadap orang Melayu, atau Cina, dan India diturunkan kepada generasi baru; mereka akan lebih menghayati erti kemerdekaan dan bernegara hari ini. Seluruh masyarakat kita juga tanpa terpilih-pilih akan melihat genosid dan pembunuhan sebagai jenayah perang. Termasuklah apa yang berlaku di Palestin.
Orang luar di Barat misalnya sangat cakna dengan keadaan di Palestin hari ini. Ia kerana mereka diajar tentang perang, jenayahnya dan genosid di sekolah. Ada naratif membentuk mereka. Untuk meminta semua orang merasai kepedihan Palestin, kita juga mesti mengiktiraf, menghayati dan ikut merasai kesakitan mereka juga. Ia mesti didedahkan kepada awam.
Generasi yang hampa atau vakum hal sebegini akan menjadi generasi yang vakum dan hampa empati. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.