Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepanjang masa. Kasihnya nenek bagaimana pula? Dalam kes yang baru dilaporkan, kasihnya nenek boleh menukar seorang cucu yang dilahirkan tanpa kerakyatan menjadi warganegara selepas menempuh pelbagai rintangan dan kepayahan selama 10 tahun lamanya.
Betapa kisah ini benar-benar menyayatkan. Seorang nenek menjadikan ia tekadnya untuk mendapatkan kerakyatan untuk cucunya yang berusia 15 tahun di sebalik tidak tahu bagaimana dan dari mana hendak bermula. Apalah yang boleh diharapkan daripada seorang nenek berusia 70-an kecuali dalam kes ini, terserlah ikhtiar tanpa jemu, kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa selain tuah yang mungkin memihaknya.
Sudah banyak cerita didengar dan dibaca bagaimana sukarnya untuk mendapatkan kerakyatan hingga ada pihak yang ditagih pertolongannya mengambil kesempatan untuk menipu dan melesapkan wang. Penipuan seperti ini bukan pun kes terpencil.
Januari tahun lalu, umpamanya, seorang pengurus kafe mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan terhadap empat tuduhan menipu dua individu bagi urusan mendapatkan dokumen kerakyatan. Mengikut kertas pertuduhan, pengurus kafe itu yang juga seorang bekas anggota keselamatan telah menipu seorang wanita warganegara Indonesia untuk memperoleh dokumen kerakyatan negara Malaysia untuk anaknya dan mendorong wanita berkenaan menyerahkan wang tunai RM2,000 kepadanya.
Berselang beberapa bulan pada April, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendedahkan sebuah NGO giat mendapatkan pengesahan untuk warga asing tanpa kerakyatan di Sabah yang dipercayai memberikan mereka dokumen pengenalan diri palsu dengan bayaran. NGO terbabit dikatakan mengambil kesempatan daripada langkah kerajaan meneliti kemungkinan mengeluarkan dokumentasi untuk pekerja asing di Sabah dengan dengan mendakwa layak untuk mengeluarkan kad sedemikian.
Seperti laporan wartawan FMT Natasha Busst kelmarin, hasrat terbesar seorang nenek berusia 73 tahun di Klang, Selangor Sandra Lee menjadi realiti apabila cucunya Edward Tan diiktiraf rakyat Malaysia tapi bukan sebelum ditipu. “Saya langsung tak tahu cara mendapatkan kewarganegaraan untuk Edward. Saya bahkan ditipu RM6,000 oleh seseorang yang mengatakan dia boleh mendapatkan kerakyatan untuk cucu saya,” katanya.
Dilahirkan kepada bapa warganegara Malaysia dan ibu warga Indonesia di luar nikah, Edward tiada kerakyatan kerana tidak berhak mendapat kewarganegaraan bapanya. Walaupun diambil sebagai anak angkat oleh bapa kandung dan ibu tirinya pada 2012, dia masih gagal mendapat kerakyatan. Namun, neneknya Lee tidak pernah berputus asa, cuma halangan terbesarnya ialah tidak tahu hendak bermula dari mana.
Hasil pertolongan seorang rakan peguam, Lee memohon kerakyatan untuk Tan pada 2012 tapi mereka buntu selepas surat yang diterima pada 2013 memaklumkan permohonan mereka tidak berjaya. Keadaan berubah pada 2016 selepas Lee membaca kisah Navin Moorthy – yang pada usia 17 tahun menerima kerakyatannya selepas penantian selama enam tahun – dan berunding dengan peguamnya, Annou Xavier, yang menasihatinya memohon semula kewarganegaraan untuk cucunya.
“Pada 2016, kami memohon semula. Tetapi, jawapannya tidak pernah diterima. Jadi, Xavier menasihatkan kami menulis surat dan terus menghubungi Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan maklum balas tapi masih tiada apa-apa yang berlaku. (Akhirnya) pada 12 Dis lalu, kami menerima surat kelulusannya. Kami semua sangat gembira kerana berasakan beban ini sudah tiada,” kata Lee dalam laporan FMT itu.
Lee sebenarnya boleh mendapatkan pertolongan salah satu daripada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) — Yayasan Chow Kit, Lawyers for Liberty (LFL), Pembangunan Sumber Manusia Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Malaysia dan Family Frontiers — yang berusaha menangani isu-isu kerakyatan dan golongan yang tidak mempunyai kewarganegaraan. Tapi beliau mungkin tiada akses kepada mereka.
Malaysia adalah satu daripada dua negara di dunia – sebuah lagi Barbados — yang mendiskriminasi lelaki daripada segi keupayaan mereka untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar nikah. Sesiapa saja boleh mengandaikan kepayahan yang terpaksa dilalui Edward tanpa kerakyatan, apatah lagi kewarganegaraanlah yang akan memberikan seseorang akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan. Tanpanya, semua perkara akan jadi sukar.
Umpamanya, seorang peguam bela yang dulunya tidak memiliki kerakyatan, Wong Kueng Hui, dipetik dalam satu laporan Channel News Asia bertarikh 20 Nov 2023 sebagai berkata bahawa dia telah menunggu 16 tahun untuk menjadi warganegara Malaysia, termasuk perlu bertarung di mahkamah selama lima tahun bagi mendapatkan kewarganegaraan dan mendapat kad pengenalan.
Pada masa lalu, kata Wong, untuk membeli tiket bas melancong pun adalah satu kesulitan bagi mereka yang tidak mempunyai status warganegara, kerana untuk membelinya memerlukan sebarang bentuk pengenalan diri. Mereka yang terjejas begini terpaksa bergantung kepada rakan-rakan untuk membuat pembelian.
Malah, dia terpaksa membawa borang permohonan kewarganegaraannya ke mana sahaja dia pergi kerana tidak mempunyai sebarang bentuk pengenalan diri. “Ada kalangan pihak berkuasa pernah meminta rasuah daripada saya kerana saya tidak dapat mengemukakan sebarang pengenalan diri. Tetapi kerana saya tahu hak saya dan mempunyai sistem sokongan, saya boleh berhujah kes saya dengan mereka,” katanya.
Berkat kecekalan Lee, Edward akhirnya dapat meraikan Krismas pertamanya sebagai rakyat Malaysia serta boleh berjalan dengan bebas tanpa perlu ada rasa takut-takut lagi — selepas tujuh tahun membuat panggilan dan menghantar surat tidak terkira banyaknya kepada Kementerian Dalam Negeri sebelum akhirnya menerima surat kelulusannya.
Kegembiraan luar biasa Lee dapat meraikan sambutan perayaan dengan meriah tanpa perlu bimbang lagi dengan status kewarganegaraan cucunya harus antara kisah paling menarik sempena Krismas kali ini – tapi bukan tanpa lebih dahulu dibasahi keringat berusaha dan jenuh berlinangan air mata – yang boleh jadi pedoman dan rangsangan kepada ramai lagi yang senasib. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.