`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 3, 2023

Kerusi roda bermotor ciptaan OKU tempatan ‘terbang’ ke Australia

 

Azarin Razali menggunakan pengalaman sebagai kontraktor pembinaan untuk menghasilkan kerusi roda bermotor dikenali Gospeedi.

PETALING JAYA: Lapan tahun lalu, takdir menentukan Azarin Razali lumpuh separuh badan akibat penyakit saraf tunjang, namun di sebalik dugaan itu ada hikmah mengubah kehidupannya.

Terpaksa menutup syarikat pembinaan yang dibuka 15 tahun sebelum itu, beliau bangkit membina perusahaan menggunakan pengalaman sebagai kontraktor untuk menghasilkan kerusi roda bermotor bagi manfaat orang kurang upaya (OKU).

Bapa kepada empat cahaya mata itu, yang kini berusia 50 tahun, berkata idea menghasilkan produk dinamakan Gospeedi itu bagi memudahkan pergerakan OKU selain ikhtiar mencari pendapatan demi kelangsungan hidup.

“Saya cuba teruskan perniagaan (pembinaan) kerana saya ingatkan orang lebih simpati dengan OKU…rupanya tidak, mungkin tak sesuai saya jadi kontraktor lagi.

“Jadi tercetus idea hasilkan Gospeedi sebab dulu saya aktif tiba-tiba berkerusi roda pergerakan terbatas,” katanya ditemui FMT sempena Hari OKU Sedunia disambut 3 Dis setiap tahun.

Berbekalkan sedikit simpanan, Azarin memulakan usaha menggabungkan kerusi roda dan enjin bermotor dan rekaan itu berjaya menambat hati pengguna Facebook.

Dijual pada harga bermula RM4,000 seunit, orang ramai juga boleh menempah Gospeedi di laman e-dagang dan Azarin mengakui platform jualan dalam talian banyak membantunya menembusi pasaran antarabangsa.

“Ada juga pelanggan dari Australia, Brunei, dan Singapura,” katanya.

Gospeedi mendapat permintaan kerana sesuai buat pengguna aktif memandangkan ia ringan serta berkelajuan sehingga 40 km/j.

Kini Azarin tersenyum puas dan usahanya mencuba sesuatu yang baharu di sebalik kekurangan diri ternyata berbaloi.

Biarpun terpaksa bermula semula dalam bidang perniagaan itu, beliau tidak menoleh mengenang nasib sebaliknya mahu Gospeedi terus maju pada masa depan.

“Memang bergelar usahawan OKU ada cabaran tetapi saya bernasib baik ada bantuan ramai termasuk anak saudaranya…dia banyak membantu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.