`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 16, 2023

Makan masa bertahun nak lulus, pekebun tak minat mohon myGAP

 

Chai Kok Lim mendakwa pasukan petugas khas dicadangkan untuk mempercepat kelulusan myGAP pekebun sayur belum ditubuhkan sehingga kini.

PETALING JAYA: Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands mendakwa pengurusan Jabatan Pertanian tidak cekap, menjadi punca proses mendapatkan persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) berlarutan sehingga bertahun lamanya.

Presidennya Chai Kok Lim berkata majoriti ahli sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan persijilan amalan pertanian baik itu, namun dakwanya, masalah timbul apabila agensi kerajaan berkenaan berlengah melakukan audit.

Chai Kok Lim.

“Depan menteri, depan pegawai mereka cakap boleh cepat lulus…cakap tiga bulan saja boleh dapat sijil myGAP tapi itu hanya mulut saja cakap.

“Bila dah mohon mereka pun tak datang untuk buat audit,” katanya kepada FMT mengulas laporan hanya 221 daripada 2,293 pekebun berdaftar di Cameron Highlands memperoleh persijilan myGAP yang menimbulkan persoalan berhubung tahap keselamatan produk sayur-sayuran serta buah-buahan dihasilkannya.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Mohd Soffi Abd Razak, yang mendedahkan maklumat itu pada sidang DUN 6 Dis lalu menyifatkan kadar 9.6% berkenaan masih kecil memandangkan 40% daripada bekalan sayur-sayuran di Malaysia datang dari kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk terbabit.

Mohd Soffi Abd Razak.

Dakwa Chai, keadaan itu bukan sahaja berlaku di tanah tinggi berkenaan tetapi turut membabitkan lokasi pertanian di tempat lain sehingga pekebun sayur “jemu” hendak memohonnya.

Chai berkata, pihaknya ada memberi cadangan kepada Jabatan Pertanian supaya pasukan petugas khas dibentuk bagi mengendalikan pengauditan berkait permohonan myGAP.

“Tapi mana ada task force? Suka-suka panggil pegawai itu pegawai ini…selalu gagal nak datang audit. Alasan mereka nak kumpul orang dari HQ (ibu pejabat) dululah, dari pejabat daerah baru boleh datang buat audit,” dakwanya.

Menurutnya, pemilik ladang yang mempunyai sijil myGAP juga tidak mendapat kelebihan berbanding mereka yang tidak memilikinya, menyebabkan kurang berminat untuk memohon sijil berkenaan.

“Bila dah dapat myGAP, harga pun sama saja…orang ada myGAP dengan tak ada myGAP pun jual sayur 50 sen juga.

“Tak ada beza…,” katanya, sambil menambah pemilik ladang perlu membelanjakan modal besar untuk mematuhi kriteria ditetapkan bagi memperoleh sijil myGAP.

MyGAP dirangka Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf pengusaha mengamalkan pertanian baik berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Mengikut laman sesawang agensi itu, salah satu daripada tiga skop pensijilan iaitu kategori tanaman myGAP yang sayur-sayuran dan buah-buahan menerima pengiktirafan itu dihasilkan untuk dimakan manusia serta haiwan.

Pekebun atau petani perlu mematuhi 17 kriteria ditetapkan antaranya penggunaan racun makhluk perosak yang minimum, mempunyai stor atau gudang simpanan, serta menyediakan kediaman bagi pekerja ladang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.