`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 16, 2023

Masjid, surau digesa titik berat SOP cegah Covid-19

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri untuk mengambil langkah proaktif bagi menghadapi wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Pengurusan surau dan masjid digesa menitikberatkan semula tatacara operasi standard susulan laporan peningkatan kes Covid-19 pada masa ini.

Gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Naim Mokhtar itu turut menasihatkan para jemaah memakai pelitup muka, khususnya golongan berisiko seperti warga emas, individu berpenyakit kronik, dan ibu mengandung.

“Umat Islam juga disarankan sentiasa berhati-hati setiap masa dan sentiasa berdoa serta bermunajat agar wabak ini dapat dihindari,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Naim menasihatkan masyarakat berhati-hati menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga.

Langkah berwaspada itu selaras saranan Islam agar perkara yang boleh membawa memudaratkan hendaklah dielakkan.

Naim berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri untuk mengambil langkah proaktif bagi menghadapi wabak tersebut, dalam ruang lingkup hal ehwal agama.

“Langkah itu bagi memastikan tempat perkumpulan ramai umat Islam seperti di masjid dan surau yang menjadi tempat mudahnya jangkitan wabak dapat diambil tindakan-tindakan pencegahan awal,” katanya.

Dilaporkan pada Rabu lalu, jumlah kes Covid-19 meningkat 88% kepada 12,757 minggu lepas, berbanding 6,796 pada minggu sebelumnya.

Dalam kemas kini Covid-19, Ketua Pengarah kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata, majoriti daripada 12,757 kes yang dilaporkan sepanjang minggu lepas menunjukkan simptom ringan dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.

Katanya, walaupun jumlah kes meningkat mendadak, ini sejajar dengan trend global pada akhir tahun. Keadaan di Malaysia terkawal dengan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kemampuan mereka, tambahnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peningkatan kes Covid-19 selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.