`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 17, 2023

Meninggal dunia ketika solat di surau hotel

 

Wanita berusia 65 tahun meninggal dunia ketika menunaikan solat Asar di sebuah hotel di Sungai Petani. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia ketika menunaikan solat Asar di surau sebuah hotel di Sungai Petani, semalam.

Kejadian disedari suami wanita itu yang terdengar jeritan dari surau berkenaan memaklumkan ada “orang jatuh”.

Dia yang berada di surau lelaki bersebelahan kemudian bergegas ke surau wanita dan mendapati isterinya, Latifah Yusof, 65, dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan hotel memaklumkan kejadian itu dan anggota tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, suri rumah berasal dari Perak bersama suaminya ke hotel terbabit untuk menghadiri majlis makan amal antara 3 hingga 6.30 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati, pasangan itu tiba di hotel berkenaan pada waktu Asar dan terus ke surau hotel yang terletak di tingkat dua.

“Namun, ketika suami wanita itu sedang menunaikan solat di surau lelaki, terdengar jeritan dari surau wanita memaklumkan ada orang jatuh menyebabkan dia bergegas ke situ dan mendapati isterinya dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri,” katanya menurut Berita Harian.

Zaidy berkata, pihak hotel kemudian menghubungi ambulans sebelum dimaklumkan wanita itu sudah meninggal dunia.

Katanya, berdasarkan keterangan suami wanita itu, isterinya mengadu tidak sihat dan sering tidur sepanjang perjalanan mereka.“Dia juga memaklumkan isterinya sebelum ini mempunyai rekod penyakit darah tinggi, pernah menghidap angin ahmar dan mendapat rawatan di Hospital Ipoh.

“Wanita itu dikatakan mahu mengikut suaminya ke majlis di hotel terbabit kerana ingin bertemu anak mereka di Sungai Petani selepas majlis berkenaan. Hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.