PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi Pembangunan) oleh Universiti Malaysia Sabah.
UMS menganugerahkan ijazah kehormat itu kepada Musa sebagai tanda penghargaan, dalam membangunkan ekonomi Sabah, menurut Utusan Malaysia.
Penghargaan itu disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Azman Hashim, pada majlis konvokesyen ke-25 universiti itu hari ini.
“Bagi saya anugerah yang diberikan oleh UMS kepada saya sangat tinggi nilainya,” kata Musa dalam ucapannya.
“Justeru, tidak salah rasanya saya kongsikan penghormatan anugerah ini dengan seluruh rakan dalam kabinet Sabah ketika itu, teman-teman seperjuangan dalam kepimpinan, seluruh ahli keluarga serta para pegawai perkhidmatan awam termasuk pegawai-pegawai saya yang sangat berdedikasi ketika berkhidmat membantu saya melaksanakan tugas berat sebagai ketua menteri Sabah.”
Musa berkhidmat sebagai ketua menteri Sabah selama 15 tahun dari 27 Mac 2003 sehingga 11 Mei 2018.
Dalam pada itu, Musa menegaskan kejayaan ekonomi berkait rapat dengan iltizam melahirkan modal insan berpendidikan tinggi.
“Menyedari kepentingan inilah kerajaan negeri Sabah yang saya pimpin memberikan fokus yang jelas terhadap usaha membina infrastruktur pendidikan berkualiti,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.