`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 11, 2023

Perak teruskan bacaan Qunut Nazilah, kata JAIPk

 

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak berkata, doa itu boleh diteruskan selagi umat Islam di Gaza masih berdepan ancaman rejim Zionis. (Gambar Bernama)

IPOH: Bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh Perak sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza yang menghadapi serangan rejim Zionis Israel masih diteruskan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, doa itu boleh diteruskan selagi umat Islam di Gaza masih berdepan ancaman rejim Zionis.

“Kita teruskan dan banyakkan berdoa. Kita tiada masalah tentang Qunut Nazilah ini dibuat dalam setiap solat fardu, malah digalakkan kepada semua perbanyakkan doa untuk sahabat kita di Gaza supaya Allah melindungi mereka.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hi-Tea Pelancaran Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim serta Penyampaian Sumbangan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim Perak di sini.

Pada 9 Dis lalu, Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman dilaporkan berkata, bacaan Qunut Nazilah selama sebulan di masjid dan surau seluruh negeri itu sebagai solidariti kepada rakyat Palestin, ditangguhkan sementara selaras sunah Rasulullah.

Berdasarkan hadis, katanya, Rasulullah hanya melaksanakan bacaan doa itu selama sebulan sebelum ia dihentikan.

Dalam perkembangan lain, Harith Fadzilah berkata, JAIPk masih menangguhkan aktiviti mengajar dan syarahan oleh penceramah dari luar mahupun dalam negeri di masjid, surau diri Jumaat (SDJ) dan surau yang berdaftar dengannya.

Katanya, beberapa perkara tertakluk di bawah Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar sedang diperhalusi bagi memastikan tiada isu berbangkit.

“Kita jangkakan selepas Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) baru-baru ini, perkara itu akan selesai, sebaliknya berlaku atas beberapa sebab, antaranya ada banyak ajaran yang dibawa mengelirukan, mungkin perkara ini ada dalam kalangan kita yang tidak perasan, tetapi sedang berjalan.”

Pada 23 Ogos lalu, Harith Fadzilah menegaskan JAIPk mengambil keputusan menangguhkan sebarang bentuk aktiviti mengajar serta syarahan membabitkan pendakwah dari dalam dan luar Perak berkuat kuasa serta-merta hingga diberitahu kelak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.