DAMANSARA: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) merancang untuk mengadakan lebih banyak program yang melibatkan peniaga kecil di pekarangan stesen rel kendalian syarikat pengangkutan awam negara itu, tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata inisiatif itu memberi peluang kepada peniaga kecil dan perniagaan di rumah menjana pendapatan, di samping menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.
“Kami berbangga dapat bersama peniaga kecil, membantu mereka dengan fasiliti yang kami ada,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Santai Bersama Rapid KL di Stesen MRT Kwasa Sentral.
Program perintis itu menyediakan tapak bagi 52 peniaga kecil menjual makanan dan kraf tangan dengan caj serendah RM20 bagi tujuan bayaran pembersihan kawasan tapak perniagaan.
Seorang peniaga, Muhammad Zulshahiran Mohd Zulkifli, 29, berkata Prasarana itu mendedahkannya kepada aktiviti perniagaan seumpama itu sebelum melibatkan diri dalam program yang lebih besar.
“Saya biasa berniaga di tepi jalan sahaja dan ini kali pertama saya terlibat dalam program perniagaan seperti ini yang dapat membantu perniagaan saya untuk lebih dikenali, malah caj yang dikenakan juga sangat berbaloi kepada peniaga kecil seperti kami,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.