Perkara yang banyak diperkatakan sekarang ialah pilihan raya pihak berkuasa tempatan atau PBT. Sebenarnya dulu pun ada diperkatakan dengan hangat kemudian sepi sebelum timbul semula sekarang. Bagi saya pilihan raya PBT membawa harapan lantas menggembirakan. Namun ia juga dijadikan isu yang mendukacitakan. Kesimpulannya saya suka dan sedih bila bercakap mengenainya.
Pilihan raya pihak berkuasa tempatan asalnya dikenali sebagai pilihan raya perbandaran susulan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Pilihan raya bandaran pertama di Semenanjung Tanah Melayu diadakan di Pulau Pinang pada 1951 untuk memilih Ahli Majlis Perbandaran George Town.
Berikutan itu pilihan raya bandaran Kuala Lumpur diadakan pada 1952 tiga tahun sebelum saya dilahirkan. Pun begitu ia menyukakan saya malah membanggakan kerana ayah saya bertanding mewakili Umno untuk kawasan Kampung Baru yang merangkumi kawasan Chow Kit dan sebahagian Bukit Bintang – kedua-dua penduduknya majoriti Cina. Carian Google memberitahu pada pilihan raya itu Umno bersama MCA memenangi sembilan daripada 12 kerusi dan kemenangan itu mengilhamkan penubuhan Perikatan pada 1957.
Apabila saya berusia lima mungkin juga enam tahun saya ada lihat beberapa keping foto hitam putih memaparkan ayah saya dijulang penyokong ketika meraikan kemenangan. “Bapak menang election,” kata anggota keluarga saya sebagai penjelasan ringkas mengenai foto yang saya tatap waktu itu. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi tetap rasa suka dan bangga kerana bak kata orang orang tua Kampung Baru, “Abdullah Yassin jadi konselor munisipal”.
Pada usia itu saya tidak tahu apa yang mereka cakap. Tidak tahu juga apa kerja municipality councillor. Yang saya nampak ramai orang Melayu, Cina, India, Sikh datang setiap hari ke rumah saya yang merupakan office ayah saya. Kata emak, mereka datang minta bantuan. Saya lihat ayah mengetuk mesin taipnya buat surat untuk orang orang itu dan memberi sumbangan. Selalu juga ayah beritahu kena keluar pergi meeting.
Apabila dewasa baru saya tahu tentang pilihan raya bandaran, yang kemudian ditukar nama kepada pilihan raya PBT. Kali terakhir ia diadakan pada 1963. Setahun kemudian ia digantung. Penggantungan yang lazimnya bersifat sementara bertukar kekal apabila pada 1976 Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis kerajaan tempatan.
Boleh dikatakan ini membuat saya agak sedih tetapi izinkan saya bercakap lagi mengenai apa yang membuat saya suka kerana bercakap mengenai suka lebih sedap berbanding pasal sedih.
Saya suka akan pilihan raya PBT kerana bak kata Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz ia memperkasakan suara rakyat dalam membawa isu setempat, selain memastikan “peningkatan nilai kebertanggungjawaban pihak berkuasa”. Mungkin persoalan susulan ialah lalu wakil rakyat buat apa? Menurut Faisal pilihan raya PBT secara tidak langsung akan meringankan kerja Ahli Parlimen dan Adun yang sebelum ini terpaksa menyelesaikan semua isu setempat melibatkan sampah sarap, longkang tersumbat dan sebagainya sedangkan tugas mereka adalah menggubal serta menyemak undang-undang dan dasar penting negara dan negeri. Selain itu, kata Faisal, ia sebenarnya memberi manfaat kepada parti politik yang mempunyai akar umbi yang kuat termasuk di luar bandar yang majoriti penduduk orang Melayu, sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan diperluaskan.
Tetapi agak sedih sekarang rakyat ramai yang sudah letih dan tepu akan pilihan raya. Pilihan raya kecil yang wajib diadakan pun kurang dapat sambutan apa lagi pilihan raya ‘tambahan’. Cukuplah pilihan raya untuk memilih Adun dan Ahli Parlimen. Mungkin itu kata orang. Namun saya kira keletihan dan rasa tidak suka serta bosan terhadap pilihan raya akan berubah pada masa mendatang. Takkan letih dan tak suka selama-lamanya, betul tak? Ini memberi harapan pilihan raya PBT boleh diadakan suatu masa nanti.
Sekarang mengapa saya berasa sedih. Ini kerana pilihan raya PBT dikaitkan dengan bangsa. Umno dan PAS sekian lama menentang pilihan raya ini tetapi dulu mereka cakap berlapik dan berkias tetapi mudah difahami apa mesejnya. Sekarang kedua parti itu serta Bersatu lantang dan terbuka mendakwa orang Cina akan menang orang Melayu akan kalah sekaligus dikuasai bangsa lain jika pilihan raya PBT diadakan.
Meskipun saya tahu mengapa sentimen ras dimainkan ia tidak patut begitu kerana jumlah orang Melayu di bandar sudah bertambah. Saya petik pengerusi Bersih sekali lagi. Katanya Kuala Lumpur sendiri hari ini populasinya berbilang kaum dengan Melayu menjadi majoriti. Berdasarkan perangkaan kata beliau sudah pasti mana-mana pihak yang berminat meletak calon untuk pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan pertimbangkan calon utama dari kaum Melayu.
Begitu juga di luar Kuala Lumpur. Projek perbandaran rancak menyaksikan kawasan bandar baru banyak diduduki orang Melayu. Contoh klasik Shah Alam, Bangi, dan Putrajaya. Saya sendiri punyai ramai kawan Melayu yang berasal dari kampung tetapi sudah menetap secara kekal di Kuala Lumpur dan Shah Alam terutama apabila ibu bapa di kampung sudah meninggal dunia. Anak kawan-kawan saya itu dilahir di bandar. Mereka semua sudah jadi orang bandar.
Saya sedih bangsa dijadikan isu pada hal semasa pilihan raya perbandaran diadakan zaman ayah saya dahulu soal Melayu kalah Cina menang bukan isu meskipun di Kuala Lumpur waktu itu orang Cina jauh lebih ramai daripada orang Melayu. Ayah saya menang dengan undi pelbagai bangsa.
Satu lagi fakta. Rusuhan kaum di Kuala Lumpur tercetus lima tahun setelah pilihan raya perbandaran digantung. Ertinya pilihan raya itu tidak boleh dikaitkan dengan ketegangan antara kaum.
Sebagai penutup saya tampilkan sesuatu yang saya suka pun tidak, tidak suka pun tidak. Ini membabitkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Zaliha Mustafa. Kata beliau, kerajaan ada banyak keutamaan yang mesti diberi tumpuan sebelum soal pilihan raya PBT dibincangkan.
Saya setuju kerajaan beri tumpuan kepada priorities terlebih dahulu. Bagaimanapun akan tiba masa soal pilihan raya PBT akan perlu ditangani. It will not go way on its own. Pasti orang yang mengaku pahlawan akan terus menerus membakar sentimen bangsa. Nampaknya bagi saya secara peribadi dalam soal pilihan raya PBT ada lebih sedih daripada suka. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.