`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 24, 2023

Tiada sebab GRS, GPS tukar sokongan, komitmen PM untuk Sabah, Sarawak tinggi

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan tambat hati kepimpinan Sabah dan Sarawak, dengan komitmen pada memenuhi MA63 dan program pembangunan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Komitmen tinggi Perdana Menteri Anwar Ibrahim memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memastikan pentadbiran kerajaan perpaduan mampu bertahan hingga habis penggal PRU15, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan kerajaan perpaduan dan menyokong gabungan lain untuk menubuhkan kerajaan.

“Dalam tempoh singkat satu tahun banyak yang direalisasikan. Itu buktikan komitmen dan keikhlasan perdana menteri ke-10 untuk tunaikan janji.

“Tiada sebab untuk mereka bertukar pendirian. Saya percaya mereka akan terus menyokong kerajaan perpaduan dan perdana menteri hingga pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang mengatakan terdapat cubaan pihak tertentu meminta GPS meninggalkan gabungan kerajaan perpaduan, namun ditolak oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg.

“Tidak ada sebab untuk GPS atau Abang Johari beralih sokongan. Saya kira kerana di bawah kepimpinan perdana menteri kerajaan perpaduan jelas buktikan komitmen untuk penuhi MA63,” katanya.

Tambahnya, rakyat dua negeri itu juga tidak selari dengan ideologi pembangkang seperti PAS, maka menyukarkan kerjasama.

“Kalau dibandingkan di pihak Perikatan Nasional itu juga jadi salah satu faktor. Dalam konteks sekarang dengan pendirian PAS dilihat ekstrem oleh penduduk Sabah dan Sarawak, ini tidak serasi dengan ideologi dan perjuangan GPS, dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak keseluruhannya.

“Yakinilah kerajaan ini tidak tumbang selagi GRS dan GPS menyokong kerajaan perpaduan,” katanya, dan menambah, sebarang usaha menubuh ‘kerajaan pintu belakang’ tidak akan berhasil.

Awang Azman Awang Pawi, dari Universiti Malaya pula berkata, pembangkang tidak lagi boleh menggunakan nama GPS dan GRS dalam usaha menebuk atap kerana pendirian mereka jelas bersama Anwar.

“Kenyataan Abang Johari itu untuk tutup terus pintu mana-mana pihak yang cuba untuk guling kerajaan perpaduan guna nama GPS untuk dapatkan sokongan. Ini mesej pembangkang yang cuba jual nama GPS dan GRS untuk mereka tumbangkan kerajaan. Ia dinoktahkan secara tegas olehnya.

“Pembangkang sepatutnya sedar mesej Abang Johari dan perdana menteri ini dalam konteks cubaan ‘tebuk atap’. Mereka kena tunggu hingga PRU akan datang,” katanya.

Lebih-lebih lagi Anwar juga berjaya menambat hati kepimpinan kedua-dua negeri melalui pelbagai program pembangunan untuk kemakmuran dan perkembangan ekonomi Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini layanan kerajaan perpaduan memuaskan hati pemimpin walaupun tidak 100% sempurna.

“Anwar berjaya melayan tuntutan sebaiknya, dilakukan secara realistik berdasarkan ekonomi dan pembangunan negara,” kata Awang Azman. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.