`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 23, 2024

20 Feb dengar kebenaran merayu 2 NGO berkait bahasa pengantar sekolah vernakular

 

Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 Feb bagi mendengar permohonan dua NGO untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan penggunaan bahasa Tamil dan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan adalah mengikut Perlembagaan.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan dalam pengurusan kes semalam di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Faezahnoor Hassan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) mengesahkan tarikh pendengaran kepada Bernama.

Pada 23 Nov tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan Mappim, Gapena, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) selepas memutuskan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular bukanlah pihak berkuasa awam dan oleh itu penggunaan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan tidak dilarang.

Bagaimanapun, difahamkan Isma dan I-Guru memilih untuk tidak meneruskan proses perundangan itu.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena, dan Isma. Bagaimanapun, GPMS tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Beliau memutuskan penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah mengikut Perlembagaan.

Pada 29 Mei 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Abazafree Mohd Abbas (kini hakim Mahkamah Tinggi) juga memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah mengikut Perlembagaan dan menolak saman difailkan I-Guru.

Dalam saman yang difailkan pada Dis 2019, GPMS, Mappim, dan Gapena serta Isma menamakan beberapa pihak termasuk kerajaan, persatuan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, dan Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) sebagai defendan.

Bagi I-Guru pula, pertubuhan itu menyaman menteri pendidikan, kerajaan Malaysia, memohon perisytiharan Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah tidak sah dan tidak mempunyai kesan perundangan.

Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil Neri, dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, MCA dan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dibenarkan sebagai pencelah dalam saman difailkan I-Guru. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.