`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 15, 2024

Bagaimana nak pastikan tiada lagi langkah?

 

Berani saya katakan rakyat sudah bosan dengan langkah itu dan langkah ini bagi menggulingkan kerajaan secara jalan pintas. Bukan mereka taasub dengan kerajaan tetapi berpegang kepada prinsip bahawa keputusan mengangkat atau menjatuhkan sesebuah kerajaan adalah hak rakyat yang dilaksanakan menerusi peti undi.

Lantas kerajaan pilihan rakyat bukan kerajaan pintu belakang atau tebuk atap.

Namun kita terus dengar pelbagai langkah dirancang golongan yang mahu jadi kerajaan tanpa menunggu pilihan raya diadakan. Percubaan rampasan kuasa politik diberi gelaran dengan

mengambil nama tempat sang politikus berkumpul membuat rencana. Maka timbullah Langkah Jakarta, London, dan Dubai.

Bak kata saintis politik Wong Chin Huat langkah yang tak henti henti mengecewakan kerajaan, pelabur dan rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan politik.

Kata Wong, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dari PKR membuat “serangan balas” paling baik berhubung apa yang dipanggil Langkah Dubai dengan mencabar Perikatan Nasional (PN) membentangkan usul tidak percaya di Dewan Rakyat yang menurut Wong tidak disahut PN-seperti dijangkakan.

Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri melontar cabaran sama kepada pembangkang jika mahu menumbangkan kerajaan. Malah, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, perdana menteri
sudah “membuka ruang” sebanyak dua kali untuk berdepan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Jadi mengapa tidak disahut? Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari yang juga ketua penerangan PAS mendakwa tiada jaminan usul tidak percaya terhadap perdana menteri akan diterima untuk dibahas dan diundi di Dewan Rakyat.

Rasanya beliau tidak percaya ungkapan tak cuba belum tahu. Mungkin kerana mendakwa sebelum ini banyak usul yang difailkan pembangkang ditolak “mentah mentah” oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul. Beliau bagaimanapun tidak memberi contoh atau sebab usul ditolak.

Apa pun bagi saya yang menarik ialah apabila beliau berkata usul undi tidak percaya bukan satu satunya kaedah untuk menukar kerajaan di Malaysia. Betullah itu kerana kaedah sepatutnya ialah menerusi pilihan raya dimana suara rakyat jadi penentu. Bukan sekumpulan politikus berpakat-pakat .

Fadhli turut dilaporkan FMT pada 12 Jan lalu bahawa tidak pernah dalam sejarah kerajaan di Malaysia bertukar melalui usul tidak percaya di Parlimen. Itu betul, kerana kedudukan perdana menteri di Malaysia lazimnya kukuh.

Pada zaman pemerintahan PN dipercayai pembangkang berura-ura membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri waktu itu Muhyiddin Yassin tetapi tidak kesampaian kerana Parlimen digantung berikutan darurat Covid-19.

Tetapi imbas kembali apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak pada 4 Disember 2020. Umno–BN yang duduk dalam kerajaan PN pimpinan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu mengemukakan usul undi percaya terhadap beliau. Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti sekali gus terpaksa melepaskan jawatan menteri besar dan kerajaannya tumbang.

Undi percaya biasanya dibentang oleh rakan manakala usul undi tidak percaya oleh musuh. Mungkin ia berbeza tetapi serupa. Keduanya boleh menyaksikan seorang pemimpin dan kerajaannya tumbang.

Berbalik soal undi tidak percaya yang PN keberatan untuk bawa ke Dewan Rakyat yang disebut tadi. Kata Anwar, pembangkang tiada kekuatan bawa usul undi tidak percaya. Justeru, kata beliau usaha seperti wujudnya SD atau akuan bersumpah atau Langkah Dubai “hanyalah politik cemas dimainkan sebelah pihak”.

Menurut Wong “kunci” kepada langkah-langkah yang dipermainkan bukan hanya hasrat menjatuhkan kerajaan Anwar tetapi seperti Langkah Sheraton ia mengenai mengumpulkan SD dan pergi ke istana.

“Shadowly nature” atau kekaburan SD kata Wong membolehkan pembangkang mendabik dada mendakwa angka sokongan yang sebenar mereka tidak ada.

SD sekadar memberi bayangan manakala usul undi tidak percaya Ahli Parlimen tidak boleh berselindung kerana mesti secara terang tunjuk tangan menyokong atau sebaliknya terdedah kepada
kemungkinan akan “dihukum”.

Dalam erti kata lain Ahli Parlimen yang berhasrat lompat lebih suka guna SD kerana jika rancangan berjaya mereka boleh menikmati kejayaan tetapi jika gagal mereka boleh nafi pembabitan dalam langkah menjatuhkan kerajaan.

Apa pun pada 13 Jan lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyarankan agar satu rang undang undang khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan atau mana mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.

“Jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas (kemenangan) sesebuah parti yang dominan atau gabungan parti politik dominan dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

“Jika tidak kita akan mengalami perkara yang terdahulu (peralihan kerajaan di luar pilihan raya ) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat,” kata presiden Umno itu.

Mungkin ada benar kata Zahid tetapi ia memberi peluru kepada pembangkang untuk melepaskan tembakan. Kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, partinya tertanya-tanya mengapa Zahid membuat cadangan itu sedangkan Anwar berkali kali mendakwa kerajaannya ada sokongan lebih dua pertiga .

“Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau beliau terdesak untuk kekal bekuasa?,” tanya Takiyuddin. Jelas bagi Takiyuddin cadangan Zahid bagai pucuk dicita ulam mendatang.

Namun ramai aktivis menyokong cadangan Zahid. Antaranya Projek SAMA inisiatif yang menyokong pembaharuan institusi. Kata badan itu kalendar pilihan raya tetap bukan sahaja ciri dalam demokrasi berpresiden dan separa presiden seperti Indonesia serta Taiwan tetapi juga semakin popular di negara demokrasi berparlimen seperti Norway, Sweden dan negeri di Australia.

Menurut Projek SAMA, Akta Penggal Tetap Parlimen atau FTPA sepatutnya menjelaskan maksud “hilang keyakinan” terhadap perdana menteri. Katanya kerajaan perlu berkhidmat lima tahun penuh kecuali perdana menteri hilang keyakinan Parlimen atau dua pertiga atau lebih Ahli Parlimen meluluskan usul menggesa pembubaran.

“Sebarang penubuhan atau pembubaran kerajaan perlu dilakukan melalui kaedah undi keyakinan atau perbekalan di Dewan Rakyat dimana Ahli Parlimen boleh mengundi secara terbuka,” kata Projek SAMA.

Bagi saya itu bererti kaedah usul undi tidak percaya mesti mengambil bahagian secara terbuka bukannya cara sorok-sorok menggunakan SD yang kesahihan belum pasti.

Kata Wong, ketidakstabilan politik angkara SD boleh dinyahkan serta kegilaan SD akan ditamatkan dengan adanya FTPA.

Apakah Anwar akan membentangnya pada sesi Parliamen Mac ini? Atau mungkin Jun? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.