`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 15, 2024

Piala Asia: Antara patriotisme, realiti

 

Piala Asia Qatar 2023 dibuka dengan gilang-gemilang di Stadium Lusail, Doha, Jumaat lalu, kira-kira setahun selepas berlangsungnya final Piala Dunia FIFA di gelanggang bersejarah itu yang menabalkan Argentina diketuai Lionel Messi selaku juara.

Tapi skuad kebangsaan Harimau Malaya mungkin sudah sampai ke kemuncaknya lebih awal pada malam 14 Jun 2022 kecuali ada keajaiban tercipta. Bersaksikan penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil 18 bulan lalu itu, barisan negara bimbingan jurulatih Kim Pan Gon menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit semula sejak 1980 selepas menamatkan penantian 42 tahun.

Malaysia kali terakhir beraksi dalam Piala Asia pada 2007 tapi itu dengan kelayakan automatik selaku tuan rumah.

Mungkin berlawanan dengan harapan penyokong, kempen Harimau Malaya yang akan bermula dengan menentang Jordan dalam saingan Kumpulan E awal esok (1.30 pagi waktu tempatan) dijangka berdepan penuh kesukaran pada ketika Malaysia dilihat lawan-lawannya termasuk Bahrain dan Korea Selatan sebagai ‘lubuk’ untuk mereka mengutip mata maksimum.

Selain juara dan naib juara setiap satu daripada enam kumpulan di peringkat awal, empat lagi pasukan di tangga ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 berdasarkan kiraan balik perbezaan
jaringan, jumlah gol dan juga rekod disiplin. Pada edisi 2019 di UAE, empat mata sudah cukup selesa untuk melayakkan diri sebagai empat pasukan ketiga terbaik seperti yang diraih Bahrain.

Dan Malaysia berharap untuk mendapatkan salah satu daripada slot berkenaan.

Menganggap sasaran itu tidak mustahil, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin mengandaikan dua perlawanan pertama – disusuli pertemuan dengan Bahrain pada 20
Jan – sangat penting untuk kita dapatkan mata dengan jangkaan Korea Selatan, pasukan di tangga ke-23 dunia, adalah rintangan paling sukar pada pertemuan 25 Jan nanti.

“Harapan kita untuk layak ke pusingan 16 itu sudah cukup baik tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata. Semua pasukan yang bertanding adalah pasukan yang terbaik,” kata Hamidin pada 27 Dis lalu.

Maksud daripada kenyataan berlapiknya itu ialah Harimau Malaya boleh memasang impian untuk ke pusingan 16 tapi kegagalan masih boleh diterima asalkan mereka tidak diaibkan di Qatar. Sebagai rekod, Malaysia pernah diperbudakkan 10-0 oleh UAE dalam satu aksi pra-Piala Dunia di Abu Dhabi pada 3 Sept 2015.

Rasanya ramai penyokong yang berperasaan seperti presiden FAM itu tapi seorang pesimis seperti saya tidak meyakininya. Antara patriotisme dan realiti, kita tidak mampu menolak hakikat yang penyertaan pasukan kita dalam Piala Asia kali ini umpama seekor ikan kecil di kolam besar.

Malaysia (130) tergolong antara lima pasukan dengan ranking dunia terendah selain Lebanon 106, Thailand 113, Indonesia 149, dan Hong Kong 150. Dalam kalangan 24 pasukan kali ini, enam – Qatar, Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan, dan Arab Saudi – turut beraksi dalam Piala Dunia lalu.

Malah, ada banyak keistimewaan dalam kejohanan ini yang menampilkan sekurang-kurangnya lapan jurulatih skuad Piala Dunia, antaranya Jurgen Klinsmann bersama Korea Selatan, Roberto Mancini mengendalikan Arab Saudi, Hector Cuper mengemudi Syria, dan Paulo Bento memimpin UAE.

Tuan rumah Qatar membuat kejutan dengan memecat Carlos Queiroz enam minggu menjelang sepak mula kejohanan dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada jurulatih berbangsa Sepanyol Tintin Marquez yang mempunyai kurang sebulan untuk menyiapkan pasukan.

Dia harus berasa tekanannya. Lima daripada tujuh edisi pertama Piala Asia dimenangi oleh negara tuan rumah, namun hanya dua tuan rumah dalam 10 edisi berikutnya yang muncul juara. Jepun menang kejuaraan sulungnya dengan mengalahkan Arab Saudi di Hiroshima pada 1992. Berselang 23 tahun, Australia pula dinobat juara dengan mengatasi Korea Selatan selepas tambahan masa dalam final di Sydney.

Lawan Malaysia dalam Kumpulan E, Bahrain, boleh mengharapkan sentuhan Juan Antonio Pizzi yang berpengalaman membimbing Arab Saudi dalam Piala Dunia 2018 di Rusia. Skuad yang bergelar Muharabi Dilmun itu harus sekurang-kurangnya berharap untuk mengulangi kemenangan 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2022.

Jurulatih veteran dalam dua kempen Piala Dunia, Philippe Troussier, pula disandarkan harapan oleh Vietnam selepas berpisah dengan Park Hang-Seo pada Mac lalu manakala pengganti Queiroz selaku pengemudi Iran, Amir Ghalenoei, yang kembali buat kali kedua belum merasa kekalahan dengan menang 10 daripada 12 perlawanan di bawah pengawasannya.

Sehingga kini, Iran adalah satu-satunya pasukan yang bergelar juara tiga kali berturut-turut. Menyusuli kejuaraan sulungnya pada 1968, skuad negara Parsi yang bergelar ‘Team Melli’ itu mengulanginya pada 1972 dan 1976. Korea Selatan tampil juara edisi sulung pada 1956 dan mempertahankan gelaran empat tahun kemudian sambil Arab Saudi menjadi juara berturut-turut pada 1984 dan 1988.

Dua lagi jurulatih yang berpengalaman di peringkat Piala Dunia kekal mendapat kepercayaan. Graham Arnold yang mengemudi Australia ke pusingan 16 Piala Dunia lalu berharap untukmemperbaiki kemaraan ke suku akhir dalam dua penyertaan Piala Asia terdahulu. Pada Hajime Moriyasu pula, skuad Samurai Biru mempertaruhkan ulangan kecemerlangan ketika menundukkan Jerman dan Sepanyol dalam Piala Dunia Qatar lalu.

Selepas muncul naib juara pada 2019, Jepun adalah pasukan paling berjaya dalam Piala Asia dengan memenanginya empat kali pada 1992, 2000, 2004 dan 2011. Samurai Biru juga mara ke lima daripada lapan final terdahulu, dengan kekalahan kepada Qatar di UAE pada 2019 satu-satunya kali mereka berada di pihak yang tewas.

Tiada kerdilnya juga jiran kita Indonesia. Skuad Garuda itu menagih kepakaran Shin Tae-yong, jurulatih yang menjadi perancang kemenangan 2-0 Korea Selatan ketika menyingkirkan Jerman dalam Piala Dunia 2018, untuk sekurang-kurangnya memintas Malaysia, yang memiliki rekod agak cemerlang di bawah taktikal Kim Pan Gon.

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan 2-2 menentang Syria. Ini menunjukkan kami mampu bersaing dengan antara pasukan terbaik di Asia. Ini juga akan melonjakkan keyakinan pemain-pemain saya dalam Piala Asia,” kata jurulatih Harimau Malaya itu usai perlawanan memanas badan di Doha 9 Jan lalu.

Malaysia, di sebalik tidak mengundang banyak tumpuan dalam laman sesawang rasmi kejohanan, ada juga disebut dalam dua perkara – satu yang positif dan satu lagi tidak seberapa. Pada ketika Son Heung-min (Korea), Mehdi Taremi (Iran), Ali Mabkhout (UAE) dan Wataru Endo (Jepun) disebut- sebut sebagai pemain tumpuan kali ini, pemain sayap Malaysia Arif Aiman Hanapi turut tersenarai antara lima bintang muda bersama Ali Jasim (Iraq), Takefusa Kubo (Jepun), Abbosbek Fayzullaev (Uzbekistan) dan Lee Kang-In (Korea) yang dijangka menyinar.

Dalam pada itu, Malaysia tersenarai sebagai pasukan memiliki paling ramai pemain naturalisasi dengan 14 dalam kalangan semua 24 pasukan bertanding.

Melihat Piala Asia sebagai berkemungkinan menjadi titik peralihan buat Malaysia selepas diperkuatkan ramai pemain asing, penganalisis sukan negara Pekan Ramli merumuskan: “Jika kita beraksi baik dan mara lebih jauh daripada pusingan pertama, ia akan jadi penanda aras baru untuk terus bersandar kepada pemain naturalisasi dalam kejohanan pada masa depan.

Sebaliknya, jika kita terus di takuk lama, mungkin tiba masanya untuk kita memikirkan semula pendekatan ‘jalan pintas’ ini.”

Menjelang sepak mula dalam Kumpulan E, Hamidin semalam mengeluarkan arahan kepada Harimau Malaya agar tidak pulang dengan tangan kosong dari Doha kerana ia akan bermakna segala ikhtiar dan dana yang dibelanjakan sepanjang dua tahun lalu adalah sia-sia.

Tuntutannya kepada pemain-pemain ialah dapatkan sekurang-kurangnya beberapa mata dan selebihnya akan dianggap bonus. Ayuh kita sokong Harimau Malaya tanpa terlalu harapkan keajaiban. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.