`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 28, 2024

Kajian hapus pencen sejak 90an, elak risiko negara muflis, kata PM

 

Anwar Ibrahim berkata, kajian penghapusan pencen telah dibuat puluhan tahun namun tidak ada tekad politik. (Gambar Bernama)

IPOH: Kerajaan menyangkal dakwaan mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang majoritinya penjawat awam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu sebaliknya telah dikaji sejak lama dulu di mana mesti ada rancangan baharu untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

“…malah sudah puluhan tahun dikaji, kalau tak silap saya 90an dulu sudah dikaji, tetapi tidak ada tekad politik untuk buat (laksanakan).

“Pembangkang cakap hapuskan pencen akan seksa orang Melayu, (dakwa) ini semua cadangan DAP, dan ini yang terus dikemukakan dan tidak berbicara soal fakta kemudian guna agama, tunggang agama,” katanya berucap ketika perasmian penutup pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Saarani Mohamad yang juga pengerusi BN Perak, Ketua Pakatan Harapan (PH) Perak Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, Anwar yang juga pengerusi PH, berkata sistem pencen berkenaan juga tidak lagi diamalkan oleh sebahagian negara maju.

Anwar turut berkata, ahli politik perlu menerima kenyataan selepas ini mereka juga tidak mempunyai pencen.

Ia termasuk mereka yang bakal menjadi calon untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Jika selepas ini, mereka tidak mahu bertanding PRU kerana tiada lagi pencen, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju menetapkan syarat pengambilan bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima pencen.

Bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan status penjawat awam sedia ada, namun bagi penjawat awam lantikan baharu perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam masa sama, beliau sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan akan menaikkan kadar gaji penjawat awam mengikut kemampuan kerajaan.

“Telah 12 tahun penjawat awam kerja tidak ada penilaian, tidak ada komitmen untuk perbaiki kadar upah dan gaji mereka.

“Kita telah putuskan walaupun ada kekangan kewangan perkara ini (naikkan gaji penjawat awam) kita tidak boleh tunggu. Dengan kos sara hidup dan gaji yang tak naik kerajaan tetap ada komitmen tingkatkan kadar upah penjawat awam di negara kita,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.