`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 7, 2024

Mangsa banjir di Johor turun kepada 338 orang

 

Sebanyak 92 keluarga masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara di Johor setakat 6 pagi tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Banjir di Johor bertambah baik apabila jumlah mangsa terus menurun kepada 338 orang daripada 92 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini, berbanding 440 orang malam tadi.

Menurut laporan terkini dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), ia melibatkan tiga PPS di Kota Tinggi yang menempatkan 84 mangsa, dua PPS di Mersing (170 mangsa) dan sebuah PPS di Kluang (84 mangsa).

Di Pahang pula, sebanyak sembilan mangsa daripada dua keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Rompin yang dibuka sejak 12 tengah malam tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak ekoran kebakaran melibatkan sembilan rumah di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, kekal 38 orang.

Berdasarkan tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai berada pada paras bahaya melibatkan Sungai Endau Kluang, Johor yang merekodkan bacaan 14.51m dengan trend menurun; Sungai Kelantan di Gua Musang, Kelantan (72.61 m) dengan trend meningkat.

Sungai Arau, Perlis pula mencatatkan bacaan 24.14 m dengan trend meningkat, manakala Sungai Batang Sadong di Serian, Sarawak (9.52 m dengan trend menurun) setakat pagi ini.

Nadma turut memaklumkan beberapa kawasan di Pahang dan Johor akan mengalami cuaca buruk ekoran hujan lebat berterusan hingga hari ini dengan di Pahang, melibatkan Pekan dan Rompin dan di Johor membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Laporan itu juga menyatakan terdapat 20 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh, antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Pekan – Nenasi – Rompin di Pekan, Pahang; Jalan Mersing – Endau di Mersing, Johor; dan Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.