`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 21, 2024

Selangor raih 118 tan tuaian pertama jagung bijirin

 

Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim, berkata pihaknya bercadang memperluas tanaman itu selain melihat potensi tanah di sekitar Selangor atau di negeri lain. (Gambar Bernama)

TANJUNG SEPAT: Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah menuai 118 tan hasil pertama projek jagung bijirin berkualiti tinggi dilancarkan negeri itu tahun lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim, berkata tuaian melibatkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar itu adalah bagi fasa pertama dan dijangka hasil tersebut terus meningkat.

“Julung kali dalam sejarah Selangor tanam jagung bijirin di tanah gambut dan inilah hasil daripada Pelan Transformasi Agro Selangor dengan kerjasama PKPS, telah meletakkan penanaman ini sebagai agenda penting kerana menjadi bahan utama dalam makanan ayam.

“Justeru, untuk tuaian fasa pertama ini sebanyak 118 tan hasil diperoleh dengan kos kira-kira RM970 setiap tan, berbanding harga import RM1,200 per tan (tidak termasuk pengangkutan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tuaian Pertama Jagung Bijirin Komersial PKPS.

Beliau berkata, Malaysia mengimport kira-kira empat juta tan jagung setahun daripada negara luar, justeru, inisiatif tersebut dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada import selain memberi impak positif rantaian bekalan makanan seperti menurunkan harga jualan ayam khususnya yang dijual PKPS.

Izham berkata, pihaknya menerusi PKPS bercadang memperluaskan tanaman itu dan akan melihat potensi tanah yang ada di sekitar Selangor atau di negeri lain.

“Tanaman ini mempunyai permintaan tinggi, jagung masih di pokok pun sudah ada permintaan, selain itu, harga jualannya turut tinggi dan boleh memberi keuntungan yang berbaloi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Mohamad Khairil Mohamad Razi, berkata pihaknya menjangkakan fasa penanam kedua jagung bijirin tersebut akan bermula pada Mac depan.

“Pelaksanaan projek yang menelan belanja sebanyak RM4 juta ini merangkumi empat fasa utama iaitu fasa pembersihan dan pembinaan infrastruktur, fasa penanaman, penjagaan, dan pembesaran pokok serta akhir sekali fasa tuaian dalam tempoh 100 hingga 115 hari bagi setiap kitaran.

“Selain itu, PKPS turut mengalu-alukan kerjasama strategik dengan mana-mana pihak berminat menceburi penanaman jagung bijirin. Kita beriltizam untuk menambah lagi pengeluaran jagung bijirin khususnya di Selangor dan menawarkan kepakaran teknikal sedia ada untuk kerjasama secara komersial,” katanya.

Menurutnya, PKPS akan membuka pusat pengumpulan jagung bijirin bagi menempatkan mesin pengeringan dan penguraian selain tempat penyimpanan yang mampu menampung kapasiti kira-kira 200 tan jagung.

Ditanya mengenai Jelajah Jualan Ehsan Rahmah (JER) 2024, beliau berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan pada tahun ini sebanyak RM60 juta, termasuk subsidi RM10 juta ditawarkan kerajaan negeri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.