`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 7, 2024

Serap J-Kom sebagai unit khas Jabatan Penerangan

 

Bidang komunikasi alat penting yang menghubungkan pemerintah dengan rakyat terutama pada zaman informasi ini.

Pincang komunikasi maka maklumat yang ingin disalurkan ke bawah juga tidak berkesan, menyebabkan rakyat kurang memahami apa yang kerajaan lakukan.

Maka timbul dakwaan daripada pelbagai pihak yang kerajaan tidak berbuat apa-apa, sedangkan sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan perpaduan melaksanakan berbagai program termasuk pelancaran Pangkalan Data Utama atau Padu pada 2 Januari lalu.

Namun masih ramai yang belum mendaftar kerana kurang memahami tujuan kewujudan pangkalan data itu ataupun bimbang mengenai langkah keselamatan yang melindungi maklumat peribadi.

Tanggungjawab untuk memberi penjelasan itu bukan sahaja terletak pada kementerian yang melaksanakannya tetapi secara asas peranan penting harus dimainkan oleh agensi komunikasi kerajaan.

Antaranya ialah Jabatan Penerangan serta agensi di bawahnya dan Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-Kom selain Jabatan Penyiaran.

Jabatan yang terlibat seharusnya menjalankan tanggungjawab menerangkan dasar dan program kerajaan dengan jelas.

Perlu ada komitmen dan kompetensi di pihak mereka, khususnya J-Kom, kerana jabatan tersebut secara langsung ada kaitan dengan masyarakat atau komuniti.

Lalu timbul persoalan apa sebenarnya peranan J-Kom, dengan adanya Jabatan Penerangan.

J-Kom juga difahamkan tidak mempunyai kakitangannya sendiri kecuali beberapa pegawai atasan. Kakitangan lain difahamkan ‘dipinjam’ daripada Jabatan Penerangan.

Justeru kenapa perlu adanya J-Kom? Perkara inilah yang mungkin sedang difikirkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebelum ini, ia mungkin berperanan untuk menjaga kepentingan politik.

Berikutan pandangan yang diluahkan oleh pihak tertentu, maka sewajarnya J-Kom diserap Jabatan Penerangan sebagai sebuah unit khas diketuai ketua pengarah penerangan.

Peruntukan untuk J-Kom juga boleh disalurkan ke Jabatan Penerangan bagi memperkasakannya.

Sesuai dengan perubahan teknologi informasi, kakitangan di jabatan berkenaan harus diberi latihan untuk menyampaikan maklumat selaras perkembangan teknologi maklumat.

Ini kerana orang muda kini lebih cenderung dan selesa dengan penggunaan aplikasi seperti TikTok, Instagram, X (dahulunya Twitter), dan Facebook.

Malah laporan berita online juga lebih banyak diakses menerusi aplikasi tersebut.

Sejak beberapa bulan yang lalu, imej J-Kom terjejas dengan isu-isu tertentu menyebabkan timbul pandangan daripada pihak tertentu yang mahu agensi berkenaan dirombak semula dan dipimpin orang yang lebih kompeten.

Seorang ahli politik juga mempertikaikan pendedahan J-Kom mengenai perancangan ‘Langkah Dubai’ sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil sikap defensif.

Beliau juga berpendapat imej J-Kom kini semakin merudum selepas timbul isu kontroversi membabitkan bekas ketua pengarahnya.

J-Kom yang sebelum ini berfungsi di bawah Jabatan Perdana Menteri kini dikembalikan kepada Kementerian Komunikasi serentak dengan rombakan Kabinet baru-baru ini.

Fahmi berkata kerajaan sememangnya mendapati perlu ada penyesuaian ke atas beberapa fungsi dan tugas pelbagai agensi termasuk J-Kom.

Beliau mengesahkan kerajaan berhasrat meneliti semula fungsi J-Kom walaupun sebelum adanya beberapa isu berbangkit yang berkaitan dengannya.

Maknanya kerajaan menyedari jabatan tersebut tidak mampu memainkan peranan yang diharapkan.

Sewajarnya kerajaan atau kementerian memikirkan sama ada menjenamakan semula peranan J-Kom atau mengubah namanya sesuai dengan peranannya untuk memberi maklumat kepada rakyat.

Sehingga kini terdapat kekeliruan apa sebenarnya fungsi J-Kom, apakah ia ditubuhkan untuk membantu Jabatan Penerangan menyampaikan maklumat kepada komuniti atau menjaga kepentingan politik.

Sekiranya tujuan penubuhannya ialah untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai, maka terdapat pertindihan tugasnya dengan Jabatan Penerangan.

Langkah yang wajar ialah memisahkan komunikasi politik daripada komunikasi komuniti.

Serahkan sahaja peranan komunikasi politik kepada parti masing-masing supaya tidak berlaku percanggahan atau pertindihan tugas.

Sekiranya J-Kom diserapkan sebagai unit khas di Jabatan Penerangan, soal siapa yang akan dilantik mengetuainya juga tidak lagi timbul.

Razak Rashid Ghows seorang penulis dan pernah berkecimpung dalam dunia berita. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.