`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 24, 2024

Tun yang dihormati janganlah sampai jejaskan negara

 

Sebagai rakyat biasa yang tidak tahu banyak perkara, saya bukan perasan hebat untuk menjawab pemimpin besar seperti Dr Mahathir Mohamad yang bertanya mengapa tidak disiasat akuan berkanun Murad Khalid, bekas penolong gabenor Bank Negara, mengenai Anwar Ibrahim.

Murad mendakwa Anwar ketika menjadi pembangkang memiliki RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank. Akuan berkanun Murad dibuat 25 tahun lalu. Bukan hak saya tanya siapa yang harus menjalankan siasatan dan mengapa tiada siasatan ( jika benar tidak disiasat) apabila dakwaan dibuat pada 1999 iaitu ketika Mahathir menjadi perdana menteri. Pertanyaan itu biarlah pegawai Anwar yang memberi jawaban, malah mungkin Anwar sendiri.

Pada 2012, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Murad berada dalam keadaan tertekan ketika membuat SD dan pada 2004 telah “terbang” ke Munich, Jerman bertemu Anwar dan mohon maaf.

Pertanyaan Mahathir tentu umum tahu dilemparkan pada sidang media Isnin 22 Jan lalu, di mana bekas perdana menteri itu bercakap mengenai apa yang beliau dakwa “pendakwaan terpilih di Malaysia, penggunaan platform politik dan salah guna kuasa institusi penguatkuasaan negara”. Sidang khas itu diadakan beberapa hari setelah anak Mahathir, Mirzan, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan berhubung perisytiharan harta.

Pada sidang media itu juga Mahathir membidas cara Anwar “membalas jasa” beliau. Kata Mahathir, beliau dan rakan karibnya, Daim Zainuddin, membantu Anwar semasa bertanding PRK Port Dickson 2018. “Saya dan Daim berkempen untuknya tetapi sekarang dia mahu siasat saya kerana salah laku.” Begini Anwar balas budi beliau dan Daim, kata Mahathir.

Ini juga saya si rakyat biasa serahkan kepada pegawai perdana menteri untuk menjawab. Sekali lagi saya kata mungkin Anwar sendiri mahu menjawab. Terpulang. Mereka yang mesti bertanya atau mengagak apa Mahathir mahu Anwar lakukan untuk membalas jasa.

Dalam responnya, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu kerajaan tidak masuk campur dalam sebarang siasatan SPRM ke atas mana-mana individu yang bergelar Tun dan ahli keluarga mereka.

Mahathir pada sidang media itu turut mencabar Anwar membubar Parlimen dan adakan pilihan raya untuk menguji sokongan rakyat terhadapnya. Soal ini diulas dua penganalisis dan dilapor FMT.

James Chin dari University Tasmania menyifatkan tindakan Mahathir mencabar demikian sebagai “cubaan terdesak”. Itu menurut Chin satu lagi cubaan Mahathir untuk kekal relevan walaupun bukan wakil rakyat.

Kata Chin, ramai pemimpin Perikatan Nasional mula menjauhkan diri daripada Mahathir khasnya selepas kenyataannya baru-baru ini mengenai orang bukan Melayu “tidak setia kepada Malaysia sepenunhnya”. Diberitakan hal ini sedang disiasat polis.

“Perkara terbaik Anwar dan Malaysia ialah mengabaikan Mahathir. Apabila beliau menggesa pilihan raya mengejut diadakan, kebanyakan orang akan geleng kepala dan sedar beliau bercakap seperti ahli politik terdesak,” kata beliau kepada FMT.

Untuk rekod Anwar dilantik perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2023 selepas mendapat sokongan majoriti dalam kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan parti lain. Mandat kerajaan ialah sehingga 2027.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula dipetik berkata Anwar akan mengabaikan cabaran “tidak berasas” Mahathir yang dikaitkan dengan siasatan SPRM terhadap anaknya. “Mahathir sendiri tahu Anwar tidak akan terpengaruh dengan tekanan ini,” kata Azmi yang dilapor FMT.

Itu ulasan dua penganalisis terkenal. Bagi saya yang ingin disentuh ialah sesuatu yang menggusarkan. Begini. Apabila Mahathir pada sidang media tiga hari lalu bercakap mengenai “pendakwaan terpilih” beliau menegaskan mahu memberitahu pemimpin dunia supaya tidak ke Malaysia.

“Saya nak bagitau seluruh dunia jangan datanglah ke Malaysia. Rakyat sedang disiasat kecuali mereka yang sokong kerajaan. Orang yang tak sebulu dengan perdana menteri kena siasat. Orang yang sokong perdana menteri walaupun ada 47 kes mahkamah ditarik balik kes (merujuk pertuduhan ke atas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi). Inilah Malaysia. Malaysian justice,” kata Mahathir.

Sama ada tuduhan beliau itu benar atau tidak dan sama ada setuju atau tidak soal lain. Yang menggusarkan dan membimbangkan ialah Mahathir mahu “bagitau seluruh dunia jangan datang ke Malaysia.

Beliau tidak perincikan ‘ancaman’ itu lantas persoalan penting yang timbul ialah adakah Mahathir menganjurkan dunia memboikot Malaysia? Adakah Mahathir menyarankan pelancong asing jangan datang dan negara luar jangan melabur dan berdagangan dengan Malaysia?

Tidak dipastikan sama ada saranan Mahathir dunia jangan datang ke Malaysia akan berhasil atau sebaliknya. Tidak tahu kita sama ada kata-kata Mahathir sekarang masih carry weight seperti waktu beliau jadi perdana menteri dahulu, terutama buat kali pertama bermula 1982.

Mungkin dunia akan dengar atau mungkin tidak akan dengar. Apapun tidak dinafikan Mahathir masih dikenali dunia.

Mungkin Mahathir sekadar dicengkam emosi semasa berkata apa yang beliau kata. Maklumlah anak beliau sedang disiasat. Apa pun ingin saya katakan – Tun, nak marah dengan Anwar marahlah. Okay lah marah dengan Zahid, marah SPRM dan ketuanya Azam Baki. Marah siapa juga tetapi janganlah sampai menjejaskan Malaysia. Apa yang mahu disaran (sama ada didengari dunia atau tidak) bukan hanya mengenai Anwar, Zahid, SPRM, dan Azam. Rakyat juga akan susah. Tolonglah Tun kasihani rakyat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.