`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 23, 2024

Warga emas maut, 2 wanita nyaris rentung dalam 2 nahas

 

Sepasukan anggota dari BBP Sik bersama lapan anggota mengambil 10 minit untuk memadamkan api, manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan. (Gambar JBPM)

BALING: Seorang lelaki warga emas maut, selepas motosikal Modenas Kriss ditunggangnya dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di jalan baru Kulim-Baling di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Baling, Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian 12.10 tengah malam tadi, Hassim Ahmad, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Kuang, dekat sini, tiba di Simpang Tiga Jerai dan mangsa dipercayai keluar dari sebelah kiri (jalan) secara mengejut untuk masuk ke kanan jalan.

“Sebuah treler sedang bergerak dari Kota Bharu, Kelantan untuk menghantar barang ke Pulau Pinang tidak sempat menekan brek, lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sejauh 10m dan mangsa tercampak ke kiri jalan, sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Dalam kejadian berasingan di Sik, tindakan pantas dua wanita melompat keluar dari kereta dinaiki yang tiba-tiba terbakar menyelamatkan nyawa mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, dalam kejadian 6.45 petang semalam di Kampung Lubuk Tualang, dekat sini, pemandu Perodua Myvi berusia 40-an bersama rakannya terhidu bau hangit dari bahagian enjin kereta.

“Mereka nekad melompat keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri sebelum kereta itu mengeluarkan api dan terbakar. Api marak dengan cepat, namun kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik bersama lapan anggota mengambil 10 minit untuk memadamkan api, manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.