`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 3, 2025

Video edar risalah Kristian: Menteri seru beri kepercayaan kepada polis

 

Free Malaysia Today
Menteri Na’im Mokhtar seru semua pihak diminta menghormati serta akur pada Perlembagaan bagi memelihara keharmonian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) meminta semua pihak bertenang dan memberi kepercayaan kepada polis, susulan video memaparkan individu didakwa mengedar risalah agama Kristian di Desa Setapak, Kuala Lumpur.

Na’im Mokhtar berkata apa-apa tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang perlu dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam.

Tegasnya, mana-mana pihak yang terbukti melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Merujuk kepada berita berkaitan video tular beberapa individu yang cuba menyebar agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, JPM (Hal Ehwal Agama) meminta semua pihak supaya menghormati serta akur kepada Perlembagaan bagi memelihara keharmonian dalam bernegara,” menurut kenyataan.

“Semua pihak adalah dimohon untuk bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada polis dalam membuat siasatan terperinci.”

Walaupun Perkara 11(1) Perlembagaan menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, Fasal 4 menyatakan undang-undang negeri dan persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Terdahulu, polis berkata sedang mencari tiga individu termasuk dua warga asing didakwa mengedarkan risalah agama Kristian, selepas menerima laporan pada Isnin berhubung suatu video tular mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Wangsa Maju, Lazim Ismail, dilapor berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun kerana kesalahan perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan atas sebab-sebab agama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.