`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Monday, May 4, 2026

Rundingan 40% hasil Sabah fokus 4 aspek utama, kata menteri

 Antaranya, memuktamadkan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih persekutuan dari Sabah dan penyelarasan serta pengesahan data hasil membabitkan agensi utama.

MUSTAPHA SAKMUD - DEPUTY MINISTER - MSU
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata aspek ketiga dan keempat ialah meneliti isu bayaran lampau belum selesai sejak sekian lama serta perbincangan mekanisme pelaksanaan secara berfasa.
KOTA KINABALU:
 Rundingan kerajaan persekutuan dan Sabah berhubung tuntutan 40% hasil negeri itu giat dilaksanakan dengan memfokuskan empat aspek utama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud.

Menurutnya, tumpuan pertama ialah memuktamadkan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih persekutuan dari Sabah selaras Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, tumpuan kedua membabitkan penyelarasan dan pengesahan data hasil membabitkan agensi utama seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam, manakala aspek ketiga meneliti isu bayaran lampau belum diselesaikan sejak sekian lama atau “lost years” secara adil.

“Tumpuan keempat ialah perbincangan mekanisme pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan dengan teratur dan berterusan.

“Semua usaha ini menunjukkan rundingan bukan dalam keadaan statik, tetapi bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta. Tuntutan 40% itu hak mutlak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan, bukannya pemberian ihsan,” katanya dalam kenyataan.

Mustapha berkata, pertukaran data kewangan antara kerajaan persekutuan dan Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 berjaya dilaksanakan, sekali gus membolehkan kedua-dua pihak mempunyai asas kefahaman lebih jelas terhadap angka serta kaedah pengiraan terlibat.

Menyentuh status Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau memaklumkan 13 daripada 29 perkara disasarkan sudah diselesaikan setakat ini, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Bagi memperkukuh ketelusan, katanya, “Dashboard Status Pelaksanaan MA63” telah diaktifkan untuk Fasa 1 bagi memantau asas kemajuan, manakala Fasa 2 sedang dibangunkan untuk memperluas integrasi data antara agensi serta akses maklumat secara masa nyata.

Mengenai bayaran interim, beliau berkata, ia hanya penyelesaian sementara sehingga kata putus dicapai melalui persetujuan bersama.

“Sebarang usaha menaikkan nilai pembayaran itu adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.