Awang Azman Pawi berkata kelebihan akan berpihak kepada parti menonjolkan imej kepimpinan tenang, tegas, dan berprestasi berbanding sekadar 'sembang deras'.


Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, walaupun pendekatan emosional membabitkan 3R pernah berkesan membangkitkan rasa terancam pada PRU15 tetapi strategi itu kini mempunyai hadnya.
Katanya, pengundi luar bandar mahupun golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun kini mula melihat naratif ekstrem secara negatif, terutama apabila isu harian mereka tidak diselesaikan.
“Sekiranya setiap pilihan raya digambarkan sebagai ancaman, tetapi kehidupan rakyat tidak berubah, mesej itu akhirnya kehilangan kredibiliti.
“Pengundi mula bertanya: selepas semua ucapan keras itu, apakah penyelesaiannya terhadap gaji, rumah, pekerjaan, banjir, air, dan pengangkutan?” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, majoriti senyap yang mempunyai komitmen kewangan dan keluarga lebih menilai aspek praktikal seperti kestabilan kerajaan dan keupayaan wakil rakyat memberikan perkhidmatan.
“Pihak lawan mungkin memenangi ruang komen dengan ‘sembang deras’, tetapi parti seperti Barisan Nasional boleh memenangi peti undi jika menonjolkan imej kepimpinan yang tenang, tegas, dan berprestasi,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan budaya ‘sembang kencang’ atau ‘sembang deras’ dalam kalangan ahli politik tidak seharusnya dihukum sebagai retorik kosong semata-mata kerana ada antara mereka yang berhujah berlandaskan fakta yang betul.
“Kadangkala sembang deras diperlukan untuk menarik perhatian, terutama sekali dalam pendengar yang ramai umpamanya secara ‘live’ di pentas ceramah.
“Kalau ton suara sama sahaja, walau bercakap tentang benda yang betul dan berfakta, ianya akan kalah dengan ahli politik yang bunyinya macam retorik,” katanya.
Azmi berkata, sebaik sahaja perhatian audiens berjaya ditangkap melalui gaya penyampaian yang dinamik itu, barulah ahli politik boleh berhujah dengan lebih mudah untuk meyakinkan rakyat mengenai sesuatu dasar atau idea yang dibawa.
Semalam, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan dilaporkan berkata pengundi Melayu kini beralih arah kepada ahli politik yang tenang, sederhana, serta mempunyai kriteria seperti kredibiliti, kebolehpercayaan, dan sifat rendah diri.
Katanya, masyarakat mula bosan dengan retorik politik agresif atau ‘sembang deras’, sekali gus memberi kelebihan kepada Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, jika dinamakan sebagai calon perdana menteri pembangkang menjelang PRU16. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.