Aktivis jalan raya Hisham Shafie berkata penggantungan ANPR wajar bagi membolehkan sistem itu dinilai semula demi kebajikan pengguna.

Pengasas Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Hisham Shafie, berkata keputusan itu memberi ruang kepada kerajaan negeri menilai semula keberkesanan dan kaedah pelaksanaan ANPR sebelum penguatkuasaan diteruskan.
Katanya, semakan itu perlu mengambil kira kelemahan teknikal sistem, keadaan sebenar di lapangan serta kebajikan pengguna jalan raya supaya penguatkuasaan tidak dilihat sekadar mengejar jumlah kompaun.
“Walaupun penggunaan sistem teknologi canggih wajar bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, pelaksanaan yang terlalu agresif tanpa mengambil kira realiti di lapangan hanya menimbulkan kegelisahan dan kemarahan awam.
“Apa-apa pindaan undang-undang termasuk sistem penguatkuasaan yang bakal dilaksanakan perlulah selari dengan keadaan semasa dan kebajikan pengguna jalan raya di Malaysia, bukan sekadar mengejar jumlah kompaun semata-mata,” katanya kepada FMT.
Isnin lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menghentikan pelaksanaan ANPR dalam mengeluarkan kompaun, bagi membolehkan semakan semula dibuat.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil maklum balas dan pandangan rakyat berhubung pelaksanaan sistem berkenaan.
Sementara itu, Hisham yang juga aktivis pengguna jalan raya mendakwa ada keadaan sistem mengimbas nombor plat sebelum pengguna sempat melengkapkan bayaran menerusi aplikasi parkir pintar, selain masalah capaian internet di sesetengah kawasan.
Beliau berkata, keadaan sedemikian menunjukkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada keputusan sistem ANPR ketika menentukan sesuatu kesalahan.
“Setiap kesalahan dikesan sistem itu wajar disemak secara manual oleh pegawai penguat kuasa bagi mengesahkan keadaan sebenar sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.